Saban pagi dia lihat gadis itu, duduk di bangku yang sama, berkongsi dengannya tren sealiran. Dan si gadis akan turun di stesen yang sama. Dunianya saban hari tertumpu pada destinasi itu. Namun dia tahu saban hari si gadis menjejakkan kaki ke destinasi berbeza di seluruh dunia.
Kerana kelmarin dia perhati si gadis tenggelam dalam pembacaannya berkisar watak berlatar tempatkan England, semalam dia lihat si gadis sudah sampai ke Jepun dan hari ini si gadis sudah mendapat 'visa' untuk dia berada di India.
Sesungguhnya dia si gadis perantau, meskipun setiap sen yang diperolehinya saban hari dari destinasi yang satu itu belum cukup untuknya terbang menikmati keindahan budaya yang berbeza di seluruh dunia.