Showing posts with label cerkon. Show all posts
Showing posts with label cerkon. Show all posts

Wednesday, April 22, 2020

random short story

Cawan plastik ditarik dari susunan lalu disua ke bawah ice dispenser. Sebaik sahaja kiub ais memenuhi separuh cawan, posisinya dialih ke bawah mesin pembancuh air. Matanya fokus pada susu suam yang laju menitis sebelum diganti dengan kopi dan coklat panas. Cukup bahan, mesin terhenti tanda minuman siap dibancuh. Segera dia tutup mulut cawan yang hampir melimpah dan menatang penuh cermat ke kaunter bayaran.

Sedutan iced salted caramel mocha terasa penuh nikmat di lidah dan tekak. Rasa manis karamel, masin garam dan pahit kopi berlumba masuk, membangkitkan rasa segar untuk meneruskan pemanduan. Sambil nozel minyak ditekan, sedutan air diteruskan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

" Ingat nak isi kat stesen minyak lain?"

Dia dengar ayat itu menyapa pendengarannya tapi dia rasa destinasi yang wajar bagi pernyataan berbaur persoalan itu bukanlah dia lalu dia biarkan sahaja.

" Tak ingat dah ke?"

Masa ini baru dia berpaling. Seulas senyum menyapa penglihatan, sekaligus membuka kotak ingatan yang tersimpan kemas. Cepat dia tunduk, mahu sembunyikan mata yang mula berkaca. Hati, kenapa terusik sangat ni?

" Mesti dah lupa saya, kan," Empunya senyum masih tak berganjak menanti jawapan. Dia hembus nafas perlahan.

" Mana boleh lupa. Awak yang lupa saya dah kot," Dia telan liur yang rasa berbuku di tekak. 
" Taklah, tak boleh lupa. Boleh ke kita lupa orang kita sayang?" soalnya. 

Diam. Tahu pun, getusnya dalam hati.

Bunyi dari tangki kereta tanda minyak di paras penuh mengalih tumpuannya seketika. Nozel dipulang ke kedudukan asal lalu tangki ditutup kemas. Dia pandang lawan bicaranya seketika.

" Sihat? Tangan dah ok?" Soalannya buat dia tersenyum. Murahnya senyum awak hari ini.
" Dah, alhamdulillah okay je,"
" Baguslah..." Masing-masing hilang bicara. Dia kerling jam di tangan. 

" Mesti awak nak gerak dah kan. Pergilah, takut sampai lambat pulak nanti," Makin dia mahu tumpahkan saja air mata yang ditahan dari tadi lantaran tersentuhnya hati apabila perihal diri sekecil itu masih diingati. Buat pertama kalinya sejak beberapa minit tadi, akhirnya dia beranikan diri angkat muka dan menatap wajah si dia. Langsung tak berubah. Dalam hati dia ucap setinggi syukur kerana hari ini dia tergerak untuk bersiap lebih rapi dari biasa, sekurangnya dalam pertemuan tak tersangka ini tidaklah dia rasa menyesal dengan penampilannya.

" Aah tulah...saya gerak dulu ya," Si dia angguk dan bergerak seiringnya saat mahu masuk kereta. Dia perhati sahaja saat enjin kereta dihidupkan, seolahnya masih ada yang mahu diluahkan. Lalu tingkap kereta diturunkan.

" Saya guna nombor yang sama lagi," Dia tersenyum mendengar pengakuan itu.
" Saya pun. Hati-hati drive, dah sampai nanti bagitahu," balasnya. Tergelak kecil mendengarnya.
" Lawak pulak, dulu tak pernah awak cakap macam tu," 
" Dulu saya silap, tak ambil kisah orang yang sayang saya. Harap masih ada ruang untuk sayang awak balik, walaupun saya tak sebaik mana," ujarnya rendah diri.

" Saya dah kata saya sayang dari hati, kan? Insha Allah, ruang tu masih ada," Leganya rasa saat dia luahkan semua itu. Serentak mereka berbalas senyum. 

" Oklah, bye," Dia lambai tangannya. Tingkap kereta dinaikkan. Brek kereta perlahan dilepaskan lalu kereta bergerak pergi sambil matanya tak lepas menjeling cermin sisi hingga empunya badan hilang dari ruang pandangan. Telefon pintar di sisi tiba-tiba bergetar tanda mesej masuk. Tergelak dia membacanya.

" Hujung tahun ni kita mesti kahwin tau *emoji sengih sambil tutup mulut*"

Insha Allah. Semoga panjang jodoh.

Hatinya tenang sepanjang pemanduan. Insha Allah, mudah-mudahan ini jawapan istikharah yang dia cari selama ini. Insha Allah.


Monday, August 8, 2016

biawak

Dia berlari meninggalkan mee yang sedang digoreng tatkala tangisan nyaring kedengaran dari bilik utama. Sebaik tiba, dia dukung bayi yang sedang menangis kelaparan lantas susu yang sudah siap dibancuh disua menamatkan tangisan serta-merta. Tersenyum dia melihat si anak berselera menyusu hingga botol tersebut kosong isinya. Usai si anak melepaskan puting botol susu, terus dia terlena kembali lalu perlahan-lahan diletakkan semula ke tempat tidurnya. Selesai ‘mengepung’ si bayi yang kekenyangan dengan bantal peluk dan selimut, dia kembali ke dapur mendapatkan mee separuh masaknya.

“ Tak siap masak lagi ke?” Suara sinis menyapa telinganya bila dia melintasi ruang tamu. Dia pandang pemilik suara yang sedang membelakanginya, menghadap telefon pintar di tangan.

“ Belum, bang. Naurah terjaga tadi,” Perlahan dia membalas. Tiada suara balasan lantas dia menyambung haluannya ke dapur.

“ Abang, sarapan dah siap.” Dia melaung dari dapur. Setelah makanan siap dihidang dan suaminya mengambil tempat di meja makan, dia terus masuk ke bilik untuk bersiap. Barang-barang keperluan anak untuk dihantar ke rumah pengasuh dibimbit masuk ke dalam kereta. Anak yang sedang lena diangkat dengan cermat dan diletakkan dalam tempat duduk bayi. Tali pinggang keselamatan dipasang. Dia kembali semula ke dalam rumah mendapatkan barangannya pula.

“ Sayang, jangan lupa bayar bil. Astro dah kena potong, awak lupa bayar ya? Internet pun dah start lembab ni. Gaji dah masuk,kan?” Suara itu kedengaran lagi, mencucuk telinganya, menghiris hatinya. Dia tidak pandang empunya suara sambil berpura-pura sibuk mengemas beg tangannya.

“ Dengar tak ni? Jangan lupa bayar bil-bil tu nanti. Hari ni ambik half day je, biar settle semua urusan tu senanglah nanti,” Darahnya mendidih mendengar suara itu lagi. Luka hentakan pada dahi yang diterimanya semalam terasa berdenyut kuat. Dia terpandang meja makan yang bersepah saat dia selesai mengemas diri pada cermin. Dia hanya mengeluh dalam hati.

“ Saya pergi dulu,” Dia ucap sambil mengatur langkah keluar dari rumah. Si dia buat tidak tahu sahaja, gayanya sudah bersiap sedia mahu menyambung mimpi setelah kekenyangan menelan dua pinggan mee goreng.

Dia masuk ke dalam kereta lantas menghidupkan enjin. Beg tangannya dibuka. Borang tuntutan fasakh yang berlipat diambil dan ditatap. Dia pandang cermin. Biasan wajahnya buat air mata mahu mengalir. Lebam pada dahi dan bibir disentuh perlahan. Lantas air mata diseka. Pedal minyak dipijak lalu kereta bergerak meninggalkan rumah.


Sesungguhnya dia sudah letih menanggung biawak hidup.

Monday, July 18, 2016

Gadis Perantau

Saban pagi dia lihat gadis itu, duduk di bangku yang sama, berkongsi dengannya tren sealiran. Dan si gadis akan turun di stesen yang sama. Dunianya saban hari tertumpu pada destinasi itu. Namun dia tahu saban hari si gadis menjejakkan kaki ke destinasi berbeza di seluruh dunia.

Kerana kelmarin dia perhati si gadis tenggelam dalam pembacaannya berkisar watak berlatar tempatkan England, semalam dia lihat si gadis sudah sampai ke Jepun dan hari ini si gadis sudah mendapat 'visa' untuk dia berada di India.

Sesungguhnya dia si gadis perantau, meskipun setiap sen yang diperolehinya saban hari dari destinasi yang satu itu belum cukup untuknya terbang menikmati keindahan budaya yang berbeza di seluruh dunia.

Friday, April 15, 2016

Jongang

Dia kesat air mata dengan telekung yang dipakai. Sambil itu dia perhati kiri kanan, bimbang ada yang perasan dengan tingkahnya. Mujur surau tidak ramai orang, kalau tidak jenuh dia mencipta alasan bila ditanya nanti. Sengaja dia pura-pura pejam mata sambil tadah tangan, berdoa dengan khusyuk dalam hati bila ada insan lalu di sebelahnya. Setelah gelora di hatinya rasa tenang, baru kakinya punya kekuatan untuk bangun beredar.

***
" Hai, selamat pagi. Apa khabar?" Wanita muda dengan topeng muka tersangkut pada lehernya menyapa dengan senyum pada dia yang muncul di muka pintu. Dia angguk sahaja sambil membalas senyuman itu.

" Dah ready ke?" Wanita muda menyoal sambil topeng muka ditarik menutupi kawasan hidung dan mulutnya. Dia angguk perlahan-lahan.

" Dah makan kenyang-kenyang tadi?" soalnya lagi.
" Dah. Diorang kata first time pakai tak boleh makan so saya makan puas-puas tadi," Si wanita muda bertopeng muka tergelak kecik mendengar jawapannya. Dia menjadi tenang sedikit melihatkan wanita muda yang ramah itu. Si wanita muda menyarung tangannya dengan sarung tangan getah.

" Ok, kita start pasang ea. Kalau ada apa-apa rasa tak selesa ke bagitahu ya," Selepas ayat itu habis diucapkan, prosedur pun bermula. Dia hanya tabah menganga sepanjang prosedur dijalankan. Seingatnya, hampir sejam juga dia buka mulutnya hingga terasa lenguh pada rahangnya.

" Ok dah siap. Nah cuba tengok," Sekeping cermin muka disua padanya. Dia senyum lebar melihat imej pada cermin. Dia pandang si wanita muda yang turut tersenyum melihat pelanggan yang ceria.

" So lepas ni setiap bulan ke kena jumpa?" soalnya sambil bersiap-siap untuk balik.
" Aah tapi tu nanti kita akan confirmkan. Nanti esok kalau dah ada perubahan bolehlah bagitahu saya ya. Whatsapp gambar ke. Hari ni bolehlah ambik gambar before dulu," balas si wanita muda. Dia angguk faham.

" Oklah terima kasih banyak-banyak. Saya pergi dulu," Dia meminta diri lalu pulang dengan perasaan senang di hati.

Malam itu dia mengerang kesakitan saat mahu makan bubur. Gigi-giginya terasa ketat yang teramat, kesan ikatan dawai. Dia pujuk hatinya, beauty is pain. Sakit lagi dicerca daripada memakai alat ni, getus hatinya menguatkan semangat. Sedikit demi sedikit bubur disuap ke dalam mulut langsung ditelan kerana sedikit sentuhan pada gigi sahaja sudah membuatkan dia menjerit kesakitan, apatah lagi kalau perlu mengunyah. Hingga satu tahap sakitnya tak tertanggung, dia terus melelapkan mata dengan harapan sakit itu hilang seketika.

***
Dia memandang resah skrin telefon pintarnya. Dua tanda kelabu bertindihan itu belum bertukar kepada biru lagi. Dia sentuh sedikit permukaan gigi kapaknya. Dia berdesis kuat, menahan sakit saat jarinya tersentuh permukaan gigi. Dahinya berkerut. Dia cuba baring selepas menelan dua tablet putih penahan sakit. Perlahan-lahan sakitnya memudar bila matanya terpejam dan mindanya berlayar ke alam mimpi.

" kau okay?" tegur si teman. Dia angguk namun pada wajahnya terlukis riak sakit yang teramat.
" tapi macam sakit gila je kau pakai braces ni. Aku pakai jugak dulu tapi taklah sampai berminggu camni. Kau tak call doktor kau ke nak check? appointment kau bila?" soal si teman bertalu-talu.

" tak tahu. Aku whatsapp tanya bila tapi dia tak reply pun," wajah si teman berubah mendengarkan hal itu.

" weh, pergi je lah mana-mana klinik untuk emergency ni," Dia angguk sahaja. Sekarang bukan sekadar sakit yang dia rasa, beberapa batang gigi hadapan juga sudah mula terasa longgar dari soketnya.

***
Dia terkedu bila doktor itu mengucap panjang melihat radiograf giginya yang baru diambil sebentar tadi.

" Minta maaf ya bertanya, tapi awak buat braces ni dengan siapa?" soal doktor dengan nada serius. Dia tertunduk takut. 

" Saya jumpa dia melalui Instagram. Saya whatsapp dia lepastu dia bagi appointment untuk pasang braces," Dengan ketar dia menjawab, sambil takut-takut memandang wajah doktor. Doktor nampak hampa bila mendengar perakuannya itu.

" Hmm kenapa awak pergi dengan dia..Awak tahu tak kesan dia apa buat braces bukan dengan pakar ortodontik yang bertauliah?" soal doktor dengan lembut, dia risau dan kecewa kerana nasi sudah jadi bubur.

" Saya tahu, doktor. Saya baca pasal tu. Tapi saya tak ada duit nak buat dekat klinik. Dan saya dah tak sanggup nak tunggu lama. Saya sakit doktor, pakai braces ni. Tapi saya lagi sakit bila teringat orang panggil saya jongang," Luahnya.

Doktor terdiam mendengar jawapannya. 

Secara fizikal, dia boleh diagnose pesakit itu dengan akar gigi yang mereput akibat pemakaian braces dengan tekanan yang berlebihan, tetapi tak ada yang tahu bahawa tekanan pada hatinya yang berlebihan yang buat dia nekad mengambil keputusan sedrastik itu. 

Tekanan digelar jongang.

p/s: Kepada yang benar-benar memerlukan rawatan braces, silalah dapatkan rawatan dari pakar yang bertauliah. Harga braces memang mahal, tetapi gigi kita lebih mahal kerana sekali hilang tiada ganti. Aku faham perasaan orang yang mengalami masalah susunan gigi yang tak teratur, terutama sekali yang jongang. Kerana aku juga mengalami masalah yang sama.

Saturday, March 19, 2016

kaviti

menggunakan spoon excavator, dia mengorek lubang sedalam ICDAS kod 4 itu sehingga bersih. setelah puas hati dan yakin, dia mula mengisi lubang itu dengan amalgam dan menumpukan sepenuh tenaga supaya lubang tersebut tertampal dengan sempurna. setelah lubang tadi selesai diisi, dia mula mengukir simen mengikut bentuk gigi. setiap urat lekuk yang ada cuba ditiru sebaik mungkin supaya pemilik tampalan boleh mengunyah seperti biasa. selesai, dia tekan punat menaikkan kedudukan kerusi lantas disuruh pesakit berkumur.

" ada rasa tinggi tak?" soalnya. si pesakit melalukan lidahnya ke kawasan tampalan sambil cuba menggigit-gigit. dia pandang si penampal.

" macam tinggi,"
" ok saya check balik ea," kerusi direndahkan semula pada kedudukan baring. berpandukan articulating paper, dia membuang lebihan tampalan yang mengganggu gigitan biasa pemilik tampalan sehinggalah beliau berpuas hati. selesai arahan post-op diberi, dia menanggalkan sarung tangan getah dan topeng muka lalu dibuang ke dalam tong kuning. dia senyum saat berpapasan dengan pembantunya yang datang untuk mengemas segala perkakas dan membersihkan peralatan yang digunakan.

" bye, Dr. jalan elok-elok," ucap pembantu. dia angguk sebelum berlalu pergi.

***
dia memberi salam saat melangkah masuk ke dalam rumah. wajah manis si suami dan senyuman girang anak kecilnya menyapa pandangan. hilang rasa letih seharian menghadap puluhan mulut dengan pelbagai masalah. suis lampu dipetik, menerangi isi rumah yang ditenggelami perubahan waktu senja.

dia tebar pandangan ke seluruh rumah. frame gambar berisi wajah dia dan keluarga kecilnya ditatap. senyuman mereka kaku, walau dituju padanya. air mata mengalir perlahan. dia terduduk sambil mendakap frame gambar itu. tangisan hibanya belum mampu dihentikan.

pemergian mereka membentuk kaviti di hatinya yang entah bila akan terisi semula.


Wednesday, January 20, 2016

memilih

" Ita! bawak kopi dengan keropok yang kau goreng tadi! Cik Nah kau datang ni ha!" Emak melaung dari ruang tamu. Ita sangkutkan kuali yang baru selesai dibasuhnya sebelum menyusun cawan, jag kopi, bekas keropok dan piring sos dalam dulang lalu ditatang dengan cermat ke ruang tamu. Dia senyum pada Cik Nah sambil atur cawan dan tuang kopi dalam cawan.

" Engkau buat apa sekarang, Ita?" soal Cik Nah. Dia senyum kelat. 
" Takde buat apa sekarang. Nak kerja takde yang sesuai dengan bidang dia mengaji kat universiti dulu. Mereput jelah kat rumah ni," Suara emak terlebih baik hati menjawabkan dulu. Ita hanya terus senyum kelat.

" La kau ni, kerja jelah apa pun. Sekarang ni cari kerja susah, tak boleh memilih. Asalkan halal, dapat duit, ye dak?" Cik Nah cuit tangan emak yang sedang hirup kopi. Emak angguk setuju.

" Ita, aku dengar Timah si tukang jahit tu cari orang nak tolong dia kat kedai dia tu. Apa kata sambil-sambil tu kau pergi menjahit kat kedai dia? Dapat juga duit sikit. Kau pun bukan tak reti guna mesin jahit," usul Cik Nah. Ita ubah perisa senyum. 

" Boleh jugak. Ita suka je," Ujarnya bersetuju. Dalam minda sudah mula terbayang proses masuk sekoci benang macam mana, nak mula menjahit macam mana. Emak buat muka berkerut.

" Engkau ni Nah, anak aku belajar tinggi pasal buat bangunan kau suruh dia kerja buat baju pulak. Ijazah dia tu nak buat apa? Tak payah, Ita. Kau tu mengaji tinggi. Takkanlah ending jadi tukang jahit je," Sanggah Emak. Perlahan-lahan senyum Ita pudar.

" Takpelah, janji kerja. Tak pun susah-susah kau kahwin je Ita. Perempuan ni belajar tinggi mana tempatnya ke dapur jugak," Cik Nah keluar usul kedua. Emak masih berkerut.

" Dengan siapa pulak aku nak kahwinkan dia ni.. Aku ni kenal pun anak-anak kampung ni jugak. Tak padanlah dengan anak aku yang belajar tinggi," Emak mengomel. Perlahan-lahan Ita minta diri mahu ke dapur, meninggalkan emak terus berborak dengan Cik Nah.

Di balik pintu dapur, Ita pecahkan air mata yang dia tahan dari tadi. Kalaulah orang tahu yang dia terpaksa memilih sedangkan dia tiada pilihan?

Saturday, November 14, 2015

planner

dia ada sebuah planner yang dia sangat sayang. selain penuh berisi temujanji dengan pesakit, ianya juga bertanda dengan tarikh-tarikh penting, bermula dari tarikh cuti hingga ke hari istimewa. kerana sayangnya pada planner itu, maka padanya kalau hilang planner itu habislah hidupnya.

terbaharu, dia mencatat tarikh yang amat dinantinya tidak lama lagi. 

tapi semalam dia terima panggilan dari lelaki itu. dia pinta cincin berlian yang dia beri setahun lalu dipulangkan. 

lantas dia koyakkan planner berisi tarikh terbaharu itu. dia ramas setiap cebisan dengan air mata. sehinggalah dia terlihat nama pesakitnya pada satu cebisan.

dia menangis hiba. lelaki itu sudah musnahkan hidupnya.

Sunday, October 25, 2015

pergi

Dia buka mata dengan payah bila telinganya menangkap bunyi alarm dari telefon pintar yang terletak di atas meja tepi katil. Jarinya meluncur di atas skrin mematikan bunyi yang memekik dari tadi. Kemudian perlahan-lahan dia bangun dari pembaringan lantas masuk ke bilik air.

Pintu almari di buka. Barisan kemeja dengan variasi warna menghias pandangan. Seperti pagi-pagi sebelum, dia akan termenung sebentar 2  minit sebelum warna kemeja hari itu diputuskan. Seterusnya rutin yang sama berulang apabila laci bawah dibuka, memilih tali leher yang sesuai dengan kemeja. Selesai dua rutin itu, dia akan menggosok secermat mungkin dan diletak dengan rapi di atas katil supaya mudah untuk dicapai oleh si pemakai.

Dia sedang menggoreng telur dadar ketika bunyi shower dari bilik air kedengaran. 15 minit kemudian bunyi air berhenti. Dia teruskan kerja membancuh teh susu dalam teko tembikar hadiah perkahwinan dari ibu mertuanya.  Setiap pagi minuman itu wajib ada atas meja, kerana itu janji yang dia buat sewaktu mereka bersarapan pertama kali sebagai suami isteri. Tersenyum dia mengingatkan kenangan itu, kerana ketika sarapan pertama mereka, dia tidak punya susu pekat manis lalu teh susu terpaksa dibancuh dengan creamer dan gula, bertentangan dengan kegemaran si suami. Tapi minuman itulah yang menghangatkan sarapan pertama mereka di bilik sewa kecil mereka di Edinburgh.

Tiga pinggan disusun cermat berhadapan tiga kerusi disusuli dengan kutleri di sebelah pinggan. Dia angkat muka bila kerusi di hadapannya ditarik. Budak lelaki beruniform sekolah itu duduk lalu menyenduk mee goreng ke pinggannya.

“ Mama, makan jom?” pelawanya. Dia senyum sambil mengambil tempat di hadapannya.

“ Hari ni Hariz ada kelas tambahan ke?”soalnya selepas menelan suapan pertama. Hariz angguk.

“ Ada, kelas Add Math. Lepas tu ada training basketball kejap. Mama ada nak pergi mana-mana ke?” balasnya sambil terus menyuap makanan. Dia geleng.

“ Tak. Takut papa balik awal hari ni, nanti dia tercari-cari mama pulak,”Hariz tenung wajah ibunya. Dia letak garpu perlahan lalu pegang tangan mama.

“ Tapi mama dah lama cuti. Nanti apa colleague mama cakap. Mama kena keluar, jumpa diorang..”

“ Takpe hari-hari mama borak dekat Whatsapp so should be no problem la kan,” Dia bangun membawa pinggan kosong ke sinki. Hariz turut langkahnya ke pintu hadapan. Tangan dia diraih lalu dikucup. Dia pandang wajah mama yang hilang seri.

“ Hariz pergi dulu,ma. Jaga diri,” Rautnya berbaur kerisauan. Mamanya senyum sahaja. Hariz naik ke atas basikalnya. Saat tongkat basikal dinaikkan, mamanya berpusing masuk ke dalam rumah seraya menyahut. Hariz rasa mahu menangis mendengarkan sahutan ibunya. Perlahan-lahan dia mengayuh basikalnya keluar dari kawasan rumah.

***

“ Hariz, mama nak ke rumah Aunty Nina kejap. Nanti basuhkan baju dalam mesin tu. Mama dah kosongkan laundry bag mama Hariz masukkan yang Hariz punya okay?” Hariz angkat tiga jari dengan ibu jarinya bertemu telunjuk tanda faham tanpa angkat kepala dari surat khabar. Tak lama selepas itu suasana sunyi sebaik sahaja enjin Vios menderum pergi meninggalkan rumah.

Penutup mesin dibuka. Dia berkira-kira untuk memasukkan baju kotornya bila didapatinya mesin sudah penuh. Lantas dia putuskan untuk basuh baju yang di dalam mesin terlebih dahulu. Sementara itu dia kembali ke ruang tamu menonton filem yang terhenti seketika sebentar tadi.

Mesin berlagu nada riang tanda baju sudah kering dan sedia disidai. Hariz capai bakul lantas isi mesin dipunggah masuk ke dalamnya. Pergerakannya terhenti tatkala kemeja pelbagai warna berada di tangannya. Mama…
***
“ Hariz, pergi panggil papa. Mama dah panggil ajak makan tadi tapi dia tak perasan kot,” ujarnya sambil tangan ligat menyiapkan hidangan. Hariz serba salah. Tapi kakinya melangkah juga ke mini library di sebelah ruang tamu.

“ Papa, mama ajak makan,” Hariz kembali semula ke meja makan setelah menyampaikan pesan itu. Dia rasa berat nak makan, tapi melihatkan mama bersungguh makan, dia paksa tekaknya telan juga walaupun pahit.

Dia berhenti melangkah bila terdengar suara mama berborak. Pintu bilik utama ditolak perlahan. Kelihatan mama sedang memegang beberapa helai kemeja sambil sesekali tertawa. Kemudian dia sangkutkan kembali kemeja yang barangkali bukan pilihan lalu kemeja lain pula diambil. Hariz tak tahan lagi. Dia melangkah masuk ke bilik terus ke arah mama yang sedang terpinga melihatkannya. Perlahan-lahan dia ambil helaian kemeja dari tangan mama dan ajaknya duduk di katil.

“ Mama, please..” Suaranya sebak. Air mata mula bertakung di kelopak mata. Mama diam. Dia cuba ambil kemeja di tangan Hariz tetapi Hariz kejapkan pegangannya. Dia mula teresak.

“ Mama tak boleh..” Kata-katanya putus dek air mata yang laju membasahi pipi. Hariz pejam celikkan matanya yang basah.

“ Dah sebulan papa pergi, ma. Kalau mama terus macam ni, nanti mama sakit. Hariz nak SPM, ma. Papa dah takde. Kalau mama pun takde, Hariz tak kuat, ma.” Mama terus menangis di bahunya. Lama mereka melayan perasaan hiba sehinggalah mama angkat muka, menatap wajahnya.

“ Hariz…seiras sangat dengan papa. Ada masa, mama sakit bila mengingatkan ni. Tapi, Hariz je satu-satunya yang papa tinggalkan untuk mama. Hati mama yang dia ambik dia tak pulangkan..” Tangisannya tercetus kembali.

“ Mama, lepaskan dia, ma. Melepaskan bukan bererti kita lupakan dia, tapi sebab kita redha dengan pemergian dia. Hariz rayu, ma.” Mama angguk perlahan-lahan. Hariz genggam kuat tangan ibunya, tanda dia sentiasa ada di sisi.

***

“ Khaira an-Naurah, sudi tak awak jadi isteri saya?” Dia terkedu. Serentak air mata terharu mengalir. Dia angguk kepalanya berkali-kali.

“ Kita kahwin esok, boleh? Saya dah telefon mak ayah awak. Mak ayah saya pun setuju. Urusan daftar kat Malaysia, apa-apa hal berbangkit nanti biar saya settlekan. Yang penting habis Master nanti saya nak balik dengan awak, bukan sorang-sorang,” Dia ukir senyum manis. Naurah senyum juga meski wajahnya basah dengan air mata.

“ Mama, jom,” Hariz raih tangannya mengajak pulang. Dia buka mata. Tangannya mengusap nisan putih di hadapan.


“ Abang, Naurah balik dulu,” Dia dan Hariz mengatur langkah. Kakinya terasa berat untuk pergi, tapi hatinya memujuk mengatakan separuh hatinya ada pada dia dan dengan itu dia akan terus hidup.

Wednesday, April 8, 2015

jam

" sekarang pukul berapa dah weh?"
" sorry, aku tak pakai jam. jap aku tengok henset," laju-laju dia swipe skrin telefon untuk tengok jam digital yang tertera. tangan kirinya disorok ke belakang.

" ah takpelah. aku dah tengok kat desktop ni haa. lagi 5 minit pukul 4," dia diam sahaja. nak dibalas panjang pula ceritanya nanti.

***
pashmina dililit ke kepala. selesai seimbangkan letak selendang kanan, kiri, depan dan belakang, dia sangkut beg ke bahu, sedia untuk bergerak ke tempat kerja. jam tangan hitam di tepi botol bedak dicapai lalu dikenakan pada tangan kirinya dengan muka jam terletak bertentangan dengan cara kebanyakan orang pakai jam. ada orang pelik dia pakai gaya begitu tapi bagi dia, gaya itu buat dia nampak lembut. lembut bahagian mananya dia pun tak pasti. yang penting dia suka dengan gaya itu.

dia tersentak bila bahunya ditepuk kuat dari belakang. kepalanya ditoleh lalu terlihat rakannya sedang sengih sambil pegang telefon bimbit dan dompet.

" kau tak nak pergi makan ke? dah 12.30 ni," tegurnya. dia cari jam di skrin laptop. apakah...patut laa dengar lagu dari tadi ada background music tambahan. dia balas senyuman rakannya. dia tarik laci untuk ambil dompet dan telefon bimbit. tiba-tiba tangannya dirampas si teman.

" hei, jam kau mati ea? apasal dia tunjuk pukul 5.45 ni? petang ke pagi?" rakannya gelak kecil. dia telan air liur yang rasa berpasir. muscle of expressionnya terasa ketat tak mahu ditarik jadi senyuman.

" pagi. dahlah jom makan kang ramai orang kena tapau makan kat pantri. malas aku nak makan sini," dia rangkul lengan kawannya sambil berlalu pergi.

***
telefon bimbit berbunyi. mula-mula alunan piano intro lagu 100th Day Anniversary hanya beralun perlahan. tapi lama-lama makin kuat. dia gagau tangan mencari letaknya telefon bimbit. lagu berhenti tanda panggilan tamat. dia masih gagau tangannya hingga terhentak bucu meja kecil tepi katil.

" ouchh...ah, lupa bukak jam malam tadi," dia duduk atas katil sambil tangan kanan cuba membuka jam yang masih terikat di tangan kiri. lantas baru dia tersedar. hari ni!!!

dia bingkas bangun menuju bilik air untuk membersihkan jemarinya yang disalut inai. warna merah pekat gelap mula kelihatan apabila inai yang sudah kering tertanggal dari jemarinya. bibirnya mengukir senyum riang. tiba-tiba telinganya menangkap alunan lagu dari telefon bimbit di atas katil. pantas dia keringkan tangan dan mendapatkan telefonnya. senyum lebar dia melihat nama yang tertera.

" assalamu'alaikum, abang.."
" naurah..." suara ibu bersulam esakan di hujung talian buat dia tak senang hati. setiap tutur kata yang disampaikan makin lama makin hilang dari pendengaran. yang dia tahu alam sekelilingnya sudah gelap.

***
jam di skrin telefon menunjukkan pukul 5.45 petang. dia kerling jam tangan sekilas. retak pada permukaan jam buat hatinya sayu. dia mengeluh. kesesakan trafik buat dia banyak mengelamun tambah lagi bila ada kenangan sedih sebegini. dia matikan paparan telefon. dia toleh kiri. jejaka Myvi hitam dengan lengan baju dilipat ke siku sedang senyum. pada dia. dia alihkan pandangan ke hadapan. lampu merah bertukar hijau. brek tangan dilepaskan dan kereta meluncur pergi.

nanti bila dia dah mampu buang jam itu, dia akan ada kekuatan untuk balas senyuman itu.

Sunday, December 21, 2014

saya nak tua dengan awak =)

" Saya nak tua dengan awak boleh?"
" Ish, apalah yang orang tua ni mengarut?"
" Eh, ini orang tua hensem tau. Dulu orang tua yang comel ni laa yang gila kat orang tua yang hensem ni," Aku mengaduh saat pipiku dicubit manja olehnya.

" Dia ni kan, tak padan dengan tua tau. Dahlah ada jarum kat tangan tu hati-hatilah," Aku bagi amaran siap-siap. Dia ni kalau mengusik tak sedar diri. Dia tarik muka.

" Ala, apalah sangat sakit jarum ni kalau penawarnya ada kat sini," Ayat manisnya keluar lagi sambil tanganku diusap lembut.

" Tengok tu, macam manalah boleh tak kena diabetes. Asyik sebut pick up line dia je," Aku sengaja buat merungut padahal dalam hati cair.

" Hai pakcik pagi-pagi lagi dah sweet? Saya nak ambik darah sikit boleh? Kita nak tengok gula pakcik ada kurang tak. Kalau dah ok insha Allah lepas round ni dah boleh balik," Dr. Suhaimi menegur sambil tangannya cekap menyediakan alatan untuk mengambil sampel darah. Aku bangun memberi laluan untuknya membuat kerja.

" Ala..pakcik sweet-sweet ni pun kalau kau nak check gula, check la makcik punya. Dia yang terasa manisnya," Dia kenyit mata pada aku. Tergeleng perlahan aku dibuatnya sambil tertawa kecil. Dr. Suhaimi turut tertawa mendengarnya. 

" Awak jangan layan sangat pakcik ni. Dia tu takde kerja sibuk nak tambah kerja awak pulak. Malam tadi on-call ok?" Soalku mengubah topik. Dr. Suhaimi membuka glove sambil berlalu ke meja di hujung katil.

" Macam biasalah makcik. Tapi letih macam mana pun, jumpa patient macam pakcik ni boleh segar bugar dibuatnya pagi ni. Nanti pakcik dah keluar, mesti saya jadi hypoglycemic," ujarnya sambil membuat wajah muram.

" Dah kenapa pulak? Bukan awak sarapan makan pakcik pun pagi-pagi," Dia buat muka pelik.
" Sebab nanti dah tak dapat dengar pick up line pakcik. Ok pakcik saya pergi sambung kerja dulu. Makcik jangan cair lebih-lebih nanti kalau hyperglycemic kena warded bukan boleh duduk sebelah katil dengan pakcik pun," Dr. Suhaimi membalas sambil ketawa. Aku dan dia ikut ketawa sekali. Ceria betul budak tu. Harap-harap urusan kerjanya hari ini dimudahkan, aku menitip doa di dalam hati.

" Tak nampak stress pun budak tu ye bang. Kita dulu.." Aku berhenti, biar memori yang teruskan ayatku. Memori yang sama-sama kami miliki. Dia tunduk namun senyum sendiri. 

" Kalau tak stress, saya tak duduk dengan awak sekarang ni," Dia pandang mataku.

" Awak, terima kasih." Tanganku digenggam erat. 
" Sebab?"
" Sebab sudi tua dengan saya,"
" Lagi?"
" Sebab terima saya despite kekurangan yang ada. Sebab tabah dan kuat dengan saya. Sebab sayangkan saya."
" Saya pun," Aku salam dan kucup tangannya. Syahdu.

***

" Cepat! GCS ada berapa komponen?" Aku tunduk. Alasan 'tak belajar lagi' sewajarnya disimpan bawah bantal sebab sebagai bakal doktor aku wajib ada sifat inkuiri yang tinggi. Aku angkat wajah tapi doktor masih menanti jawapan aku. Aku pandang hadapan melepasi bahunya.

Dia tunjuk tiga jari. Kemudian jarinya dibentuk menjadi huruf E, M dan V. Gagap-gagap aku menuturkan sehingga aku dengar doktor berkata " okey," dan melanjutkan soalan seterusnya kepada teman di sebelah aku. Aku tarik nafas lega. Aku pandang hadapan semula.

Dia angkat ibu jari pada aku. Kami berbalas senyuman yang membawa makna yang sama.


p/s: rindu sangat nak tulis cerita =)

Monday, June 17, 2013

orang baru

dia buka mata. sambil mengesat mata yang masih kabur penglihatannya, sebelah tangan dia gagau Patrick Star yang temankan dia tidur malam tadi. tapi dia tak jumpa. yang dia nampak sekarang wajah embahnya senyum.

" Abang dah bangun? jom, embah mandikan."
" Abang nak mandi dengan ibu." dia mencemik. selalu ibu yang kejutkan dia pagi-pagi. ibu gerakkan bahu dia sambil senyum. senyum ibu sama macam embah. tapi dia lagi suka senyum ibu.

" kejap lagi ibu balik. sekarang abang mandi dengan embah dulu. jom." embah tarik tangan dia lalu terus dibawa ke dalam dukungan. dia malas mahu buka mata. tapi bila sampai ke dapur dia pelik. selalu ada ayah. ayah minum sambil baca surat khabar. tapi hari ni tak ada siapa kat dapur.

" embah, ayah pun ikut ibu ke?" dia tanya sambil pandang muka embah.
" ha'ah. tapi kejap lagi ayah balik sama dengan ibu. sekarang abang mandi dulu ye. lepas mandi nanti kita makan. embah dah buat roti canai. abang boleh makan dengan susu nanti." kata embah. dia senyum lebar menampakkan barisan giginya yang putih. 

selesai mandi, embah pakaikan dia dengan baju cantik. dia ingat dia cuma sekali pernah pakai baju tu. sebab baju tu ibu beli masa hari jadi dia hari tu. ibu kata baju ni pakai masa hari istimewa je. dia berdiri depan cermin panjang tempat ayah selalu pakai tali leher pagi-pagi. tapi dia cuma nampak kepala dia sampai ke pinggang je. dia senyum bila dia nampak diri dia dalam tshirt Ben10 istimewa yang ibu belikan. seluar pun dia pakai seluar jeans cap Ben10. selepas embah sikatkan rambut dia, embah sapu bedak Carrie Junior botol kuning pada muka dia. dia suka bau bedak itu. wangi. selalu pagi-pagi sebelum pergi rumah Makcik Mira, ibu yang sapukan bedak itu pada muka dia. 

" nah, abang minum elok-elok. jangan tumpah ke karpet. embah tak larat nak lap nanti." dia sengih sahaja sambil mencapai botol susu yang embah hulurkan. setelah itu, dia berlari ke depan tv. ayah dah pesan pada embah siap-siap yang abang suka tengok cerita Upin dan Ipin dekat tv 611. jadi, ayah dah tukarkan tv untuk dia siap-siap. embah cuma perlu tekan butang tv untuk buka dan tutup sahaja. 

entah bila dia tertidur, dia pun tak sedar. dia terjaga bila terdengar bunyi kereta ayah masuk ke dalam kawasan rumah. botol susu yang sudah habis isinya dibiarkan tergolek di hadapan televisyen yang terpasang. selalu kalau ayah balik, ayah akan belikan dia susu kotak kecil warna biru dengan roti coklat. tapi selalu roti tu ayah dengan ibu yang habiskan sebab dia cuma makan krim coklat sahaja, rotinya ditinggalkan bila dah kempis isinya.

dia berdiri tegak di depan pintu kaca. embah datang dari belakang sambil bukakan pintu. dia menjerit nama ibu bila nampak muka ibu sedang senyum padanya. tapi dekat tangan ibu macam ada sesuatu. ibu sedang pegang sesuatu dengan hati-hati. dia depangkan tangan mahu peluk ibu tapi ibu senyum sahaja bila lalu dekat sebelah dia. dia pun pelik. dia pergi dekat ayah pula. tapi tangan ayah pun penuh dengan beg.

" Assalamu'alaikum abang. abang dah mandi belum?" tegur ayah bila ayah lalu depan dia. dia nak cakap tapi ayah terus melangkah ke bilik tempat ibu masuk tadi. dia kejar ayah. dia tengok ibu tengah duduk atas katil dengan sesuatu yang berbungkus kain putih. embah pun ada di sebelah ibu. dia tercegat sahaja menanti dipanggil. tiba-tiba dia terasa tangan ayah mendukung dia sambil berkata kepadanya,

" wanginya abang hari ni. abang, hari ni ibu bawak balik orang baru. abang dah jadi abang sekarang ni. tu adik abang. seronok tak?" tanya ayah sambil tersenyum lebar. dia cuba jengukkan kepala, mahu tengok orang yang ayah kata. dia nampak ada benda bergerak-gerak di sebalik kain putih itu. 

" abang mehlah sini. bawak dia dekat sikit." ibu pula mengajak. ayah pun turunkan dia lalu biarkan dia berjalan sendiri ke arah ibu. sekarang dia dapat pegang tangan ibu. dia peluk tangan ibu sambil menjongketkan sikit kaki, mahu tengok apa yang ada di depannya. 

depan itu dia nampak ada adik kecil sedang tidur. dia diam sahaja melihatkan orang yang dikatakan adiknya itu. dia pandang muka ibu.

" ibu, ni ke adik? dulu ibu kata adik duduk dalam perut ibu. bila adik keluar?" dia bertanya.
" nilah adik abang. sekarang adik dah lahir, dia nak duduk dengan kita, nak main dengan abang." jawab ibu sambil mengusap rambutnya. dia tengok lagi muka adik.

" kenapa muka adik macam muka abang?" dia bertanya lagi.
" mestilah ikut muka abang. diakan adik abang. comelkan adik?sama comel macam abang masa kecik dulu." ujar ibu. ayah duduk di sebelah ibu lalu terus meriba dia, mahu bagi dia lihat adik dengan lebih dekat. dia angguk-angguk. matanya tak lepas memandang adik yang tertidur. dia harap nanti bila adik bangun, dia boleh main dengan adik.

* * *
dia berlari masuk ke bilik ibu. tekaknya haus. botol yang kosong di tangan dipegang kejap. dia lihat ibu duduk di atas katil sedang meriba adiknya. dia dengar suara ibu sedang berselawat. suara ibu lembut sahaja. 

" ibu, abang nak susu." pintanya.
" abang mintak embah buatkanlah. ibu tengah tidurkan adik." balas ibunya.
" tapi hari tu embah dah buatkan. hari ni abang nak minum yang ibu buat." dia tak mahu mengalah.
" takpelah. yang embah buat dengan ibu buat sama je. abang pergi mintak kat embah ya. ni ibu tengah tidurkan adik. nanti adik terjaga. abang main kat luar ya." lembut-lembut ibu pusingkan badan dia suruh keluar minta embah buatkan susu. dia pun keluar dari situ.

habis sahaj sebotol susu, dia kembali semula ke bilik ibu. dia tengok ibu tengah bagi adik minum susu. dia mengantuk. dia rasa seperti mahu baring sahaja di sebelah ibu. dia pun sudah kenyang minum susu. perlahan-lahan dia naik katil. ibu tersedar lalu berpaling.

" eh, abang buat apa?"
" abang nak tidur." dia memang nak tidur sebelah ibu. selalu malam-malam atau lepas dia minum susu ibu akan duduk sebelah dia tunggu sampai dia tertidur. tapi hari ni, sudah dua hari dia tidur embah yang tunggukan.

" abang, kalau abang tidur sini nanti kena ke adik, terjaga adik nanti. abang tidur kat bilik abang je boleh?"
" tapi kat bilik abang tak ada ibu. abang nak tidur sebelah ibu." dia tak mahu mengalah. 
" abang, abang sayang ibukan? boleh ye, abang pergi bilik abang dulu. nanti ibu datang tidurkan abang." ibu memujuk. dia geleng. sambil geleng dia tak sedar air matanya mengalir. tiba-tiba adiknya berteriak menangis memanggil ibunya. ibu terus angkat adik lalu pujuk adik. tapi ibu tak pandang dia. embah masuk lalu pujuk dia. embah bawa dia keluar lalu dia tertidur juga di bilik dia sendiri.

petang. ayah balik. ayah senyum pada dia sambil hulurkan susu kotak dengan roti coklat macam selalu. tapi hari ni ayah terus masuk bilik ibu lepas pesan dekat dia supaya makan elok-elok. bila dia masuk bilik, dia tengok ayah tengah main dengan adik yang baru lepas mandi. dia sedih. dia menangis diam-diam sambil kedua-dua belah tangannya penuh dengan susu kotak dan roti coklat.

" abang kenapa ni?" tanya embah. suara embah lembut sekali. embah ambil susu dan roti dari tangannya.
" abang nak makan roti dengan ayah dengan ibu. tapi ayah dengan ibu asyik pergi dekat adik je." dia mengadu.

" takdelah. abang janganlah menangis. adik tu kecik lagi, dia tak boleh duduk jauh dengan ibu dengan ayah." embah memujuk. ayah keluar dari bilik lalu terus merendahkan tubuhnya menghadap dia.

" abang, abang janganlah sedih. ayah bukan nak main dengan adik je. ayah pun nak main dengan abang. ok, apa kata malam ni kita pergi pasar malam nak? abang suka makan nugget kan? ayah belikan abang nugget nak?" ayah bersuara teruja. dia senyum lebar. ayah dukung dia dan masuk ke dalam bilik. ibu sedang dukung adik. dia lihat adik sudah buka mata. mata adik bulat dan pipinya tembam. dia dekatkan tangan pada pipi adik, mahu rasa lembutnya pipi adik.

" cuba abang sayang adik," arah ayah. dia dekatkan mukanya pada pipi adik yang gebu. pipi adik wangi. sama dengan bau bedak yang ibu selalu pakaikan pada dia. dia senyum melihat muka adik yang comel. 

malam itu dia tidur dengan ayah. walaupun suara ayah tak selembut suara ibu yang baca selawat malam-malam sebelum dia tidur, tapi dia tetap seronok sebab sekarang dia tahu yang ayah dengan ibu bukan sayang adik sahaja, tapi juga sayang dia. dia harap bila adik dah besar nanti dia boleh tidur sama-sama dengan adik pula

p/s: cerita kontot yang dapat idea masa tengah ngantuk2 waktu lecture. haha~lecture 3 jam maunya tak keluar idea mengarut camni =)


Sunday, February 17, 2013

tangan di atas lebih baik dari tangan yang di bawah

Awan gelap berarak menutup sinar matahari yang garang memancar sejak pagi tadi. Lelaki itu masih berdiri di situ dengan kotak besar di tangannya. Seraut wajah tua itu tidak menampakkan lelah meskipun sudah lama dia tegak berdiri di situ, mengharapkan perhatian barang secebis dua dari orang ramai yang lalu-lalang di sekelilingnya. Juga tak nampak risau walaupun tahu bila-bila masa sahaja tubuhnya akan basah ditimpa hujan yang sudah mula menurunkan titisannya.

Lelaki itu masih berdiri di situ.

* * *

" Terima kasih, kak." Bungkusan nugget, bebola dan sosej goreng dicucuk pada lidi bertukar tangan dengan not hijau. Usai menerima baki, dia berpaling pada si kecil dua orang yang tak sabar mahu menikmati nugget dan sosej.

" Nah, lidi jangan buang merata-rata." Bersama si kecil yang dua orang, kaki terus dihayun menelusuri deretan gerai yang masih meriah dengan jualan. Sambil mata menjamu selera dengan hidangan yang pelbagai dan lazat pada pandangan, sambil itu juga tubuhnya menyelit di celah orang ramai mengelak dari dilanggar. Kelibat ibu dan kakak ditemui. 

Matanya terhenti pada susuk yang berdiri tidak jauh dari kelibat ibu dan kakak yang ditemui tadi.

Teringat pada rezeki yang baru diterima dan dikongsi bersama keluarga sebentar tadi. Kata orang, dalam rezeki yang kita terima, ada bahagiannya itu rezeki milik orang lain. Kita hanya wasilah dalam menyampaikan rezeki yang datang dari Yang Maha Memberi Rezeki. Sejenak teringat kisah ibu yang diseksa dalam neraka dan pelindungnya ketika itu hanyalah secebis kain dan sepotong lemak. Di celah orang ramai itu, dia tercegat sebentar.

Lantas akalnya menginterpretasikan stimulus yang datang dari hati dan menyampaikan maklumat pada tangan untuk melakukan pergerakan yang dikehendaki. Beg duit dibuka. Tak banyak yang tinggal, desis hati kecilnya. Tak apalah kalau sikit pun, mana tahu yang sikit tu bermanfaat, balas hatinya kembali memujuk. Beberapa helaian dikeluarkan. Tangan terus dipanjangkan masuk ke kotak yang dipegang lelaki itu tadi.

" Terima kasih. Semoga hidup dirahmati Allah."

Senyum. Hatinya tersentuh mendengarkan doa dari orang yang menerima pemberiannya. Terasa indah bila ada orang mendoakan hidupnya dalam rahmat Allah. Gembira rasa menyelinap di hatinya. Kaki dihayun bertukar arah pada keluarga yang menanti sejak tadi.

Dalam hatinya ada rasa suka. Ada rasa bersyukur dan seronok.

Benarlah seperti yang dikata, tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang dibawah.

kebaikan untuk tangan yang di atas *dari gugel imej*

Sunday, February 3, 2013

dikejar mr. J

dia menyeka dahi yang berkeringat. lelah serasa mencengkam dada di saat begini. dia terduduk keletihan.

* * *

" yang kau pergi layan dia lagi tu buat apa?" si kawan bertanya. ada simpati dan rasa ingin tahu di situ.
" aku tak nak. tapi..aku tak kuat nak bantah dia. aku..."
" kau tau kan dia tak baik. dahlah tu. tinggalkanlah dia."
" aku dah cuba.." galau jiwanya. bercampur aduk rasa kesungguhan dengan prasangka kemungkinan putus asa.

" cubalah. sikit2, bagitau dia yang kau tak nak kat dia. takpun, biar aku yang cakapkan, nak?"
" eh, tak payah. aku cuba."
" aku tahu dia tu bukan boleh dengar cakap orang. kalau orang tak nak kat dia, lagilah dia nak kat orang tu. bukan kau sorang je dah pernah kena. ramai dah. aku bukan nak biarkan kau terus macam ni dengan dia tapi dalam masa sama aku tak nak jugak kau merana dengan dia." panjang si kawan berbicara. 

tunduk. dia faham. dan dia sedang mengalaminya kini.

" doakan aku kuat. tolonglah."

* * *

hari ini dia senyum. berjauhan dengan dia buat hatinya tenang, biarpun ketenangan itu seketika cuma. ah, asalkan aku tak nampak muka dia hari ni. hatinya sarat berdoa moga-moga ketenangan seperti itu dikekalkan dalam hatinya, dengan kasih sayang Yang Maha Pengasih.

yang penting, hatinya bulat kini mahu tinggalkan dia yang masih tak penat mengejar. biarlah dia nak kata apa pun. yang penting, dia amat merindui hidupnya suatu masa dahulu yang bebas tanpa kongkongan dia yang tak lelah menuntut perhatian. dia amat rindu pada masa silamnya yang tampaknya lebih damai dan tenang berbanding masa kini yang serabut dengan dia yang sering datang mengganggu.

* * *

dia mengeluh. jiwa perempuannya kacau. kenapa orang bermulut manis macam dia mesti wujud dalam dunia ni? hatinya membentak. kalau ikutkan hati, memang mahu dibelasah sahaja orang macam tu tapi kudrat wanitanya membatasi. 

dalam hatinya memendam rasa amarah melihatkan si dia yang ligat bermain dengan mangsa-mangsanya. sedih pun ada. hatinya berkecamuk dengan dua benda, ketenangan yang diimpikan dengan keperitan mahu meninggalkan dia yang jika masih di sisi, bakal membuat ketenangan itu pahit.

ya, dia rasa pahit. dia cinta ketenangan itu. tapi dia tak dapat nak luahkan yang dia benci pada pengganggu itu. lantas si pengganggu masih datang meragut tenang yang dia rasa.

dia rasa malu juga. malu pada diri sendiri dan orang sekelilingnya. malu kerana membiarkan dirinya dipermainkan terang-terangan dengan bersaksikan orang yang berada di sekelilingnya. lebih malu lagi pada Yang Maha Melihat kerana Dia lebih mengetahui apa yang dia rasa dan lakukan. depan orang bolehlah nak jadi talam dua muka, depan Dia? mampukah?

dia nekad. dia akan tetap berhadapan dengan dia yang akan terus mengejar. biarlah dia mengejar sampai penat. dia akan terus berusaha berhubung dengan Dia yang akan terus memberi kekuatan untuk berdiri di hadapannya dan katakan 'tidak'. dia akan terus juga berlari dari dia yang tak penat mengejar sampai satu saat dia sendiri berhenti dan berlalu setelah melihatkan tegarnya kebenciannya terhadap si dia.

may Allah ease~

Saturday, January 15, 2011

alahai kakak iparku takut gonggok~

Aku merenung ke luar jendela. Petang makin beranjak ke malam tetapi Toyota Vios milik Along masih belum kelihatan. Aku resah. Novel ‘Bumi Cinta’ yang berbaki separuh kutanda dengan penanda buku berbentuk hati. Baru sahaja aku ingin mengorak langkah ke dapur mencari bahan untuk mengunyah, bunyi kereta berhenti di hadapan rumah mematikan hasratku. Aku tersenyum lebar.

“Along! Lambatnya sampai. Singgah mana-mana ke tadi?” soalku. Along menggeleng kepala.

“Engkau, tak sempat-sempat. Tadi singgah kedai kejap, Kak Long beli ikan patin nak masak asam malam ni.” Along lirik mata pada Kak Long yang disayanginya. Aku cebik. Huh, love couple sweet forever lah tu, cebikku. Isy, mestilah forever. Apalah aku ni…

“Mak mana? Tak nampak pun dari tadi,” Kak Long bertanya sambil kepalanya meninjau ke belakang rumah. 

“Mak pergi rumah Mak Ngah. Hantar baju kurung yang dia tempah baru siap. Lepastu mak nak terus ke surau sekali, saing dengan Mak Ngah. Akak, jomlah naik dulu. Banyak benda nak cerita ni.” Ujarku lantas menarik tangan Kak Long, dan secara rasminya aku berjaya me’rampas’ kak Long dari Along. Along mencebik, sambil terkial-kial mengangkat beg miliknya dan Kak Long. Yalah, aku mana ada kakak. Kak Longlah satu-satunya kakak aku, tempat aku nak berkongsi cerita.

Malam itu Kak long masak asam tempoyak ikan patin. Sedap. Tambah lagi dengan kek batik buatannya yang dibawa khas dari rumah. Kenyang sungguh aku. Kak long memang best. Walaupun dia belajar sampai jadi doktor, (mestilah Kak Long doktor kerana Along juga doktor dan jumpa Kak Long masa di universiti) tapi Kak Long cekap dalam buat kerja-kerja rumah ini. Kalah aku yang sekarang sedang cuti SPM tapi tak tahu nak buat apa di rumah. Sambil makan, macam-macam yang kami borakkan. Abah tak ketinggalan berborak bersama. Maklumlah, Along dan Kak Long dua-dua kerja doktor, sibuk dan tak tentu masa cuti. Apabila dapat cuti, tentulah mereka mahu manfaatkan sebaiknya.

Usai makan malam, aku membantu kak Long berkemas. Tetapi Kak Long sendiri mahu mengemas walaupun aku mahu membantu sekali. Alasannya, bukan selalu dia dapat mengemas rumah ini. Aku pun naik ke ruang tamu dengan senang hati (kerana tak payah basuh pinggan) tetapi diiringi oleh jelingan maut Along yang baru hendak ke surau bersama abah. Aku buat tidak tahu sahaja. Nantilah, kalau dalam setengah jam kak Long tak habis juga basuh pinggan, aku akan ambil alih.

Sedang aku asyik membaca novel dan menonton televisyen, tiba-tiba aku dikejutkan dengan sura jeritan yang amat nyaring disusuli pula dengan bunyi sudip jatuh ke lantai. Aku bergegas turun ke dapur dan terlihat Kak Long sedang berdiri jauh dari singki dengan tangannya menekup mulut. Wajahnya ketakutan.

“Kenapa kak? “soalku cemas. Kak Long menghulur telunjuk ke arah singki.
“Ada.. gonggok dalam tu..” balasnya cemas. Aku mendekati singki dan menjenguk ke dalamnya. Aada seekor ulat gonggok kemerahan sedang menjulurkan kepalanya keluar dari singki. Spontan tanganku menyentuh tubuhnya lantas ulat itu menggulung dirinya sendiri. Aku kaut ulat itu dengan tanganku dan kuhulur pada Kak Long.
“Ini ke ulatnya?” Kak long mejerit lagi, bahkan lebih kuat. Jeritan itu menyebabkan aku segera mencampak ulat tersebut ke luar tingkap. Ketika itu juga, Along, abah dan mak yang baru pulang dari surau tiba di dapur dengan wajah tertanya-tanya (kecuali Along, tentulah cemas kerana isteri kesayangannya yang menjerit).
“Kenapa ni? Siapa yang jerit tadi?”soal mak. Aku sengih lalu menuding ibu jari pada Kak Long yang sudah terispu malu.
“Kak long takut ulat gonggok,mak.” Semua tertawa dan tidak terkecuali Along.
“Ulat kecik tu pun takut? Hai, keliling rumah ni memang sarang ulat tu. Alamatnya kena gotong royong bersihkan rumahlah ni.”ujar mak.
“Ala, biasalah mak. Diakan duduk bandar. Jumpa ulat macam tu pun sebulan sekali, kalau balik kampung. Itu yang macam kejutan budaya sikit bila nampak ulat tu. Nantilah, kita sama-sama buang ulat-ulat tu,ye. Supaya menantu mak ni boleh hidup aman bahagia kat sini.” Balas along.

“Hah, betul tu. Kak Long bukan nak duduk sini sehari dua. Nanti kalau tengah pantang, mesti duduk sini sebulan dua punya. Tak ke lama-lama serak suara KakLong kalau dah tengah mandi jumpa ulat, basuh pinggan jumpa ulat, jemur kain jumpa ulat..” Spontan Kak Long tampar lenganku. Mak dan along tertawa. Kak Long kerut dahi dengan pandangan ‘budak ni, lebih-lebih pulak dia’. Mak segera memaut lengan Kak Long dan mengorak langkah pergi.

“Tak apalah, bukan semua orang suka makhluk tu.Dulu mak pun takut jugak…” Sayup-sayup suara mak memujuk Kak Long beransur hilang. Aku pandang Along. Along angkat kenig lalu aku senyum sendiri dan geleng kapala. Alahai kakak iparku takut gonggok….


nota akhir: boleh jadi ini yang akan berlaku pada aku satu hari nanti =D selagi aku masih gagal melawan rasa takut terhadap ulat gonggok. Hehe…apa-apa pun, ini percubaan pertama aku nak menulis cerpen. Pernah je tulis sebelum ni tapi tak banyak orang baca. Ni aku bagi korang baca, komenlah sekali ye. Tapi jangan tanya pulak siapakah ‘Along’ itu..hehehehe…ops,lupa nak cerita. Idea ni datang masa tengah mengantuk dalam kuliah Bio, di mana tiba-tiba ternampak ada ulat gonggok sedang mendaki dinding dewan tersebut. Janji, terus segar aku masa tu dan dapat idea nak buat cerita ni. Eisy, panjang pulak membebel. Ok, sehingga berjumpa lagi! =D