Sunday, October 25, 2015

pergi

Dia buka mata dengan payah bila telinganya menangkap bunyi alarm dari telefon pintar yang terletak di atas meja tepi katil. Jarinya meluncur di atas skrin mematikan bunyi yang memekik dari tadi. Kemudian perlahan-lahan dia bangun dari pembaringan lantas masuk ke bilik air.

Pintu almari di buka. Barisan kemeja dengan variasi warna menghias pandangan. Seperti pagi-pagi sebelum, dia akan termenung sebentar 2  minit sebelum warna kemeja hari itu diputuskan. Seterusnya rutin yang sama berulang apabila laci bawah dibuka, memilih tali leher yang sesuai dengan kemeja. Selesai dua rutin itu, dia akan menggosok secermat mungkin dan diletak dengan rapi di atas katil supaya mudah untuk dicapai oleh si pemakai.

Dia sedang menggoreng telur dadar ketika bunyi shower dari bilik air kedengaran. 15 minit kemudian bunyi air berhenti. Dia teruskan kerja membancuh teh susu dalam teko tembikar hadiah perkahwinan dari ibu mertuanya.  Setiap pagi minuman itu wajib ada atas meja, kerana itu janji yang dia buat sewaktu mereka bersarapan pertama kali sebagai suami isteri. Tersenyum dia mengingatkan kenangan itu, kerana ketika sarapan pertama mereka, dia tidak punya susu pekat manis lalu teh susu terpaksa dibancuh dengan creamer dan gula, bertentangan dengan kegemaran si suami. Tapi minuman itulah yang menghangatkan sarapan pertama mereka di bilik sewa kecil mereka di Edinburgh.

Tiga pinggan disusun cermat berhadapan tiga kerusi disusuli dengan kutleri di sebelah pinggan. Dia angkat muka bila kerusi di hadapannya ditarik. Budak lelaki beruniform sekolah itu duduk lalu menyenduk mee goreng ke pinggannya.

“ Mama, makan jom?” pelawanya. Dia senyum sambil mengambil tempat di hadapannya.

“ Hari ni Hariz ada kelas tambahan ke?”soalnya selepas menelan suapan pertama. Hariz angguk.

“ Ada, kelas Add Math. Lepas tu ada training basketball kejap. Mama ada nak pergi mana-mana ke?” balasnya sambil terus menyuap makanan. Dia geleng.

“ Tak. Takut papa balik awal hari ni, nanti dia tercari-cari mama pulak,”Hariz tenung wajah ibunya. Dia letak garpu perlahan lalu pegang tangan mama.

“ Tapi mama dah lama cuti. Nanti apa colleague mama cakap. Mama kena keluar, jumpa diorang..”

“ Takpe hari-hari mama borak dekat Whatsapp so should be no problem la kan,” Dia bangun membawa pinggan kosong ke sinki. Hariz turut langkahnya ke pintu hadapan. Tangan dia diraih lalu dikucup. Dia pandang wajah mama yang hilang seri.

“ Hariz pergi dulu,ma. Jaga diri,” Rautnya berbaur kerisauan. Mamanya senyum sahaja. Hariz naik ke atas basikalnya. Saat tongkat basikal dinaikkan, mamanya berpusing masuk ke dalam rumah seraya menyahut. Hariz rasa mahu menangis mendengarkan sahutan ibunya. Perlahan-lahan dia mengayuh basikalnya keluar dari kawasan rumah.

***

“ Hariz, mama nak ke rumah Aunty Nina kejap. Nanti basuhkan baju dalam mesin tu. Mama dah kosongkan laundry bag mama Hariz masukkan yang Hariz punya okay?” Hariz angkat tiga jari dengan ibu jarinya bertemu telunjuk tanda faham tanpa angkat kepala dari surat khabar. Tak lama selepas itu suasana sunyi sebaik sahaja enjin Vios menderum pergi meninggalkan rumah.

Penutup mesin dibuka. Dia berkira-kira untuk memasukkan baju kotornya bila didapatinya mesin sudah penuh. Lantas dia putuskan untuk basuh baju yang di dalam mesin terlebih dahulu. Sementara itu dia kembali ke ruang tamu menonton filem yang terhenti seketika sebentar tadi.

Mesin berlagu nada riang tanda baju sudah kering dan sedia disidai. Hariz capai bakul lantas isi mesin dipunggah masuk ke dalamnya. Pergerakannya terhenti tatkala kemeja pelbagai warna berada di tangannya. Mama…
***
“ Hariz, pergi panggil papa. Mama dah panggil ajak makan tadi tapi dia tak perasan kot,” ujarnya sambil tangan ligat menyiapkan hidangan. Hariz serba salah. Tapi kakinya melangkah juga ke mini library di sebelah ruang tamu.

“ Papa, mama ajak makan,” Hariz kembali semula ke meja makan setelah menyampaikan pesan itu. Dia rasa berat nak makan, tapi melihatkan mama bersungguh makan, dia paksa tekaknya telan juga walaupun pahit.

Dia berhenti melangkah bila terdengar suara mama berborak. Pintu bilik utama ditolak perlahan. Kelihatan mama sedang memegang beberapa helai kemeja sambil sesekali tertawa. Kemudian dia sangkutkan kembali kemeja yang barangkali bukan pilihan lalu kemeja lain pula diambil. Hariz tak tahan lagi. Dia melangkah masuk ke bilik terus ke arah mama yang sedang terpinga melihatkannya. Perlahan-lahan dia ambil helaian kemeja dari tangan mama dan ajaknya duduk di katil.

“ Mama, please..” Suaranya sebak. Air mata mula bertakung di kelopak mata. Mama diam. Dia cuba ambil kemeja di tangan Hariz tetapi Hariz kejapkan pegangannya. Dia mula teresak.

“ Mama tak boleh..” Kata-katanya putus dek air mata yang laju membasahi pipi. Hariz pejam celikkan matanya yang basah.

“ Dah sebulan papa pergi, ma. Kalau mama terus macam ni, nanti mama sakit. Hariz nak SPM, ma. Papa dah takde. Kalau mama pun takde, Hariz tak kuat, ma.” Mama terus menangis di bahunya. Lama mereka melayan perasaan hiba sehinggalah mama angkat muka, menatap wajahnya.

“ Hariz…seiras sangat dengan papa. Ada masa, mama sakit bila mengingatkan ni. Tapi, Hariz je satu-satunya yang papa tinggalkan untuk mama. Hati mama yang dia ambik dia tak pulangkan..” Tangisannya tercetus kembali.

“ Mama, lepaskan dia, ma. Melepaskan bukan bererti kita lupakan dia, tapi sebab kita redha dengan pemergian dia. Hariz rayu, ma.” Mama angguk perlahan-lahan. Hariz genggam kuat tangan ibunya, tanda dia sentiasa ada di sisi.

***

“ Khaira an-Naurah, sudi tak awak jadi isteri saya?” Dia terkedu. Serentak air mata terharu mengalir. Dia angguk kepalanya berkali-kali.

“ Kita kahwin esok, boleh? Saya dah telefon mak ayah awak. Mak ayah saya pun setuju. Urusan daftar kat Malaysia, apa-apa hal berbangkit nanti biar saya settlekan. Yang penting habis Master nanti saya nak balik dengan awak, bukan sorang-sorang,” Dia ukir senyum manis. Naurah senyum juga meski wajahnya basah dengan air mata.

“ Mama, jom,” Hariz raih tangannya mengajak pulang. Dia buka mata. Tangannya mengusap nisan putih di hadapan.


“ Abang, Naurah balik dulu,” Dia dan Hariz mengatur langkah. Kakinya terasa berat untuk pergi, tapi hatinya memujuk mengatakan separuh hatinya ada pada dia dan dengan itu dia akan terus hidup.

0 respons terhadap bicara saya: