Monday, June 17, 2013

orang baru

dia buka mata. sambil mengesat mata yang masih kabur penglihatannya, sebelah tangan dia gagau Patrick Star yang temankan dia tidur malam tadi. tapi dia tak jumpa. yang dia nampak sekarang wajah embahnya senyum.

" Abang dah bangun? jom, embah mandikan."
" Abang nak mandi dengan ibu." dia mencemik. selalu ibu yang kejutkan dia pagi-pagi. ibu gerakkan bahu dia sambil senyum. senyum ibu sama macam embah. tapi dia lagi suka senyum ibu.

" kejap lagi ibu balik. sekarang abang mandi dengan embah dulu. jom." embah tarik tangan dia lalu terus dibawa ke dalam dukungan. dia malas mahu buka mata. tapi bila sampai ke dapur dia pelik. selalu ada ayah. ayah minum sambil baca surat khabar. tapi hari ni tak ada siapa kat dapur.

" embah, ayah pun ikut ibu ke?" dia tanya sambil pandang muka embah.
" ha'ah. tapi kejap lagi ayah balik sama dengan ibu. sekarang abang mandi dulu ye. lepas mandi nanti kita makan. embah dah buat roti canai. abang boleh makan dengan susu nanti." kata embah. dia senyum lebar menampakkan barisan giginya yang putih. 

selesai mandi, embah pakaikan dia dengan baju cantik. dia ingat dia cuma sekali pernah pakai baju tu. sebab baju tu ibu beli masa hari jadi dia hari tu. ibu kata baju ni pakai masa hari istimewa je. dia berdiri depan cermin panjang tempat ayah selalu pakai tali leher pagi-pagi. tapi dia cuma nampak kepala dia sampai ke pinggang je. dia senyum bila dia nampak diri dia dalam tshirt Ben10 istimewa yang ibu belikan. seluar pun dia pakai seluar jeans cap Ben10. selepas embah sikatkan rambut dia, embah sapu bedak Carrie Junior botol kuning pada muka dia. dia suka bau bedak itu. wangi. selalu pagi-pagi sebelum pergi rumah Makcik Mira, ibu yang sapukan bedak itu pada muka dia. 

" nah, abang minum elok-elok. jangan tumpah ke karpet. embah tak larat nak lap nanti." dia sengih sahaja sambil mencapai botol susu yang embah hulurkan. setelah itu, dia berlari ke depan tv. ayah dah pesan pada embah siap-siap yang abang suka tengok cerita Upin dan Ipin dekat tv 611. jadi, ayah dah tukarkan tv untuk dia siap-siap. embah cuma perlu tekan butang tv untuk buka dan tutup sahaja. 

entah bila dia tertidur, dia pun tak sedar. dia terjaga bila terdengar bunyi kereta ayah masuk ke dalam kawasan rumah. botol susu yang sudah habis isinya dibiarkan tergolek di hadapan televisyen yang terpasang. selalu kalau ayah balik, ayah akan belikan dia susu kotak kecil warna biru dengan roti coklat. tapi selalu roti tu ayah dengan ibu yang habiskan sebab dia cuma makan krim coklat sahaja, rotinya ditinggalkan bila dah kempis isinya.

dia berdiri tegak di depan pintu kaca. embah datang dari belakang sambil bukakan pintu. dia menjerit nama ibu bila nampak muka ibu sedang senyum padanya. tapi dekat tangan ibu macam ada sesuatu. ibu sedang pegang sesuatu dengan hati-hati. dia depangkan tangan mahu peluk ibu tapi ibu senyum sahaja bila lalu dekat sebelah dia. dia pun pelik. dia pergi dekat ayah pula. tapi tangan ayah pun penuh dengan beg.

" Assalamu'alaikum abang. abang dah mandi belum?" tegur ayah bila ayah lalu depan dia. dia nak cakap tapi ayah terus melangkah ke bilik tempat ibu masuk tadi. dia kejar ayah. dia tengok ibu tengah duduk atas katil dengan sesuatu yang berbungkus kain putih. embah pun ada di sebelah ibu. dia tercegat sahaja menanti dipanggil. tiba-tiba dia terasa tangan ayah mendukung dia sambil berkata kepadanya,

" wanginya abang hari ni. abang, hari ni ibu bawak balik orang baru. abang dah jadi abang sekarang ni. tu adik abang. seronok tak?" tanya ayah sambil tersenyum lebar. dia cuba jengukkan kepala, mahu tengok orang yang ayah kata. dia nampak ada benda bergerak-gerak di sebalik kain putih itu. 

" abang mehlah sini. bawak dia dekat sikit." ibu pula mengajak. ayah pun turunkan dia lalu biarkan dia berjalan sendiri ke arah ibu. sekarang dia dapat pegang tangan ibu. dia peluk tangan ibu sambil menjongketkan sikit kaki, mahu tengok apa yang ada di depannya. 

depan itu dia nampak ada adik kecil sedang tidur. dia diam sahaja melihatkan orang yang dikatakan adiknya itu. dia pandang muka ibu.

" ibu, ni ke adik? dulu ibu kata adik duduk dalam perut ibu. bila adik keluar?" dia bertanya.
" nilah adik abang. sekarang adik dah lahir, dia nak duduk dengan kita, nak main dengan abang." jawab ibu sambil mengusap rambutnya. dia tengok lagi muka adik.

" kenapa muka adik macam muka abang?" dia bertanya lagi.
" mestilah ikut muka abang. diakan adik abang. comelkan adik?sama comel macam abang masa kecik dulu." ujar ibu. ayah duduk di sebelah ibu lalu terus meriba dia, mahu bagi dia lihat adik dengan lebih dekat. dia angguk-angguk. matanya tak lepas memandang adik yang tertidur. dia harap nanti bila adik bangun, dia boleh main dengan adik.

* * *
dia berlari masuk ke bilik ibu. tekaknya haus. botol yang kosong di tangan dipegang kejap. dia lihat ibu duduk di atas katil sedang meriba adiknya. dia dengar suara ibu sedang berselawat. suara ibu lembut sahaja. 

" ibu, abang nak susu." pintanya.
" abang mintak embah buatkanlah. ibu tengah tidurkan adik." balas ibunya.
" tapi hari tu embah dah buatkan. hari ni abang nak minum yang ibu buat." dia tak mahu mengalah.
" takpelah. yang embah buat dengan ibu buat sama je. abang pergi mintak kat embah ya. ni ibu tengah tidurkan adik. nanti adik terjaga. abang main kat luar ya." lembut-lembut ibu pusingkan badan dia suruh keluar minta embah buatkan susu. dia pun keluar dari situ.

habis sahaj sebotol susu, dia kembali semula ke bilik ibu. dia tengok ibu tengah bagi adik minum susu. dia mengantuk. dia rasa seperti mahu baring sahaja di sebelah ibu. dia pun sudah kenyang minum susu. perlahan-lahan dia naik katil. ibu tersedar lalu berpaling.

" eh, abang buat apa?"
" abang nak tidur." dia memang nak tidur sebelah ibu. selalu malam-malam atau lepas dia minum susu ibu akan duduk sebelah dia tunggu sampai dia tertidur. tapi hari ni, sudah dua hari dia tidur embah yang tunggukan.

" abang, kalau abang tidur sini nanti kena ke adik, terjaga adik nanti. abang tidur kat bilik abang je boleh?"
" tapi kat bilik abang tak ada ibu. abang nak tidur sebelah ibu." dia tak mahu mengalah. 
" abang, abang sayang ibukan? boleh ye, abang pergi bilik abang dulu. nanti ibu datang tidurkan abang." ibu memujuk. dia geleng. sambil geleng dia tak sedar air matanya mengalir. tiba-tiba adiknya berteriak menangis memanggil ibunya. ibu terus angkat adik lalu pujuk adik. tapi ibu tak pandang dia. embah masuk lalu pujuk dia. embah bawa dia keluar lalu dia tertidur juga di bilik dia sendiri.

petang. ayah balik. ayah senyum pada dia sambil hulurkan susu kotak dengan roti coklat macam selalu. tapi hari ni ayah terus masuk bilik ibu lepas pesan dekat dia supaya makan elok-elok. bila dia masuk bilik, dia tengok ayah tengah main dengan adik yang baru lepas mandi. dia sedih. dia menangis diam-diam sambil kedua-dua belah tangannya penuh dengan susu kotak dan roti coklat.

" abang kenapa ni?" tanya embah. suara embah lembut sekali. embah ambil susu dan roti dari tangannya.
" abang nak makan roti dengan ayah dengan ibu. tapi ayah dengan ibu asyik pergi dekat adik je." dia mengadu.

" takdelah. abang janganlah menangis. adik tu kecik lagi, dia tak boleh duduk jauh dengan ibu dengan ayah." embah memujuk. ayah keluar dari bilik lalu terus merendahkan tubuhnya menghadap dia.

" abang, abang janganlah sedih. ayah bukan nak main dengan adik je. ayah pun nak main dengan abang. ok, apa kata malam ni kita pergi pasar malam nak? abang suka makan nugget kan? ayah belikan abang nugget nak?" ayah bersuara teruja. dia senyum lebar. ayah dukung dia dan masuk ke dalam bilik. ibu sedang dukung adik. dia lihat adik sudah buka mata. mata adik bulat dan pipinya tembam. dia dekatkan tangan pada pipi adik, mahu rasa lembutnya pipi adik.

" cuba abang sayang adik," arah ayah. dia dekatkan mukanya pada pipi adik yang gebu. pipi adik wangi. sama dengan bau bedak yang ibu selalu pakaikan pada dia. dia senyum melihat muka adik yang comel. 

malam itu dia tidur dengan ayah. walaupun suara ayah tak selembut suara ibu yang baca selawat malam-malam sebelum dia tidur, tapi dia tetap seronok sebab sekarang dia tahu yang ayah dengan ibu bukan sayang adik sahaja, tapi juga sayang dia. dia harap bila adik dah besar nanti dia boleh tidur sama-sama dengan adik pula

p/s: cerita kontot yang dapat idea masa tengah ngantuk2 waktu lecture. haha~lecture 3 jam maunya tak keluar idea mengarut camni =)


3 respons terhadap bicara saya:

kNoWRuLE_sUN said... [balas komen ini~]

msti kelas patho ni...hohoho

Asilah Wan Mohd Badruddin said... [balas komen ini~]

SubhanAllah saya ingatkan penulis mana yang tulis tadi.best2

dr 'afifah said... [balas komen ini~]

@kNoWRuLE_sUN

haha =D tepat skali. 1st n 2nd hour tahan lagi. dh msuk pkul 4, meroyan aku tahan ngantuk.