" Ita! bawak kopi dengan keropok yang kau goreng tadi! Cik Nah kau datang ni ha!" Emak melaung dari ruang tamu. Ita sangkutkan kuali yang baru selesai dibasuhnya sebelum menyusun cawan, jag kopi, bekas keropok dan piring sos dalam dulang lalu ditatang dengan cermat ke ruang tamu. Dia senyum pada Cik Nah sambil atur cawan dan tuang kopi dalam cawan.
" Engkau buat apa sekarang, Ita?" soal Cik Nah. Dia senyum kelat.
" Takde buat apa sekarang. Nak kerja takde yang sesuai dengan bidang dia mengaji kat universiti dulu. Mereput jelah kat rumah ni," Suara emak terlebih baik hati menjawabkan dulu. Ita hanya terus senyum kelat.
" La kau ni, kerja jelah apa pun. Sekarang ni cari kerja susah, tak boleh memilih. Asalkan halal, dapat duit, ye dak?" Cik Nah cuit tangan emak yang sedang hirup kopi. Emak angguk setuju.
" Ita, aku dengar Timah si tukang jahit tu cari orang nak tolong dia kat kedai dia tu. Apa kata sambil-sambil tu kau pergi menjahit kat kedai dia? Dapat juga duit sikit. Kau pun bukan tak reti guna mesin jahit," usul Cik Nah. Ita ubah perisa senyum.
" Boleh jugak. Ita suka je," Ujarnya bersetuju. Dalam minda sudah mula terbayang proses masuk sekoci benang macam mana, nak mula menjahit macam mana. Emak buat muka berkerut.
" Engkau ni Nah, anak aku belajar tinggi pasal buat bangunan kau suruh dia kerja buat baju pulak. Ijazah dia tu nak buat apa? Tak payah, Ita. Kau tu mengaji tinggi. Takkanlah ending jadi tukang jahit je," Sanggah Emak. Perlahan-lahan senyum Ita pudar.
" Takpelah, janji kerja. Tak pun susah-susah kau kahwin je Ita. Perempuan ni belajar tinggi mana tempatnya ke dapur jugak," Cik Nah keluar usul kedua. Emak masih berkerut.
" Dengan siapa pulak aku nak kahwinkan dia ni.. Aku ni kenal pun anak-anak kampung ni jugak. Tak padanlah dengan anak aku yang belajar tinggi," Emak mengomel. Perlahan-lahan Ita minta diri mahu ke dapur, meninggalkan emak terus berborak dengan Cik Nah.
Di balik pintu dapur, Ita pecahkan air mata yang dia tahan dari tadi. Kalaulah orang tahu yang dia terpaksa memilih sedangkan dia tiada pilihan?
0 respons terhadap bicara saya:
Post a Comment