Dia
berlari meninggalkan mee yang sedang digoreng tatkala tangisan nyaring
kedengaran dari bilik utama. Sebaik tiba, dia dukung bayi yang sedang menangis
kelaparan lantas susu yang sudah siap dibancuh disua menamatkan tangisan serta-merta. Tersenyum
dia melihat si anak berselera menyusu hingga botol tersebut kosong isinya. Usai
si anak melepaskan puting botol susu, terus dia terlena kembali lalu
perlahan-lahan diletakkan semula ke tempat tidurnya. Selesai ‘mengepung’ si
bayi yang kekenyangan dengan bantal peluk dan selimut, dia kembali ke dapur
mendapatkan mee separuh masaknya.
“ Tak siap
masak lagi ke?” Suara sinis menyapa telinganya bila dia melintasi ruang tamu.
Dia pandang pemilik suara yang sedang membelakanginya, menghadap telefon pintar di tangan.
“ Belum,
bang. Naurah terjaga tadi,” Perlahan dia membalas. Tiada suara balasan lantas
dia menyambung haluannya ke dapur.
“ Abang,
sarapan dah siap.” Dia melaung dari dapur. Setelah makanan siap dihidang dan
suaminya mengambil tempat di meja makan, dia terus masuk ke bilik untuk
bersiap. Barang-barang keperluan anak untuk dihantar ke rumah pengasuh dibimbit
masuk ke dalam kereta. Anak yang sedang lena diangkat dengan cermat dan
diletakkan dalam tempat duduk bayi. Tali pinggang keselamatan dipasang. Dia
kembali semula ke dalam rumah mendapatkan barangannya pula.
“ Sayang,
jangan lupa bayar bil. Astro dah kena potong, awak lupa bayar ya? Internet pun
dah start lembab ni. Gaji dah masuk,kan?” Suara itu kedengaran lagi, mencucuk
telinganya, menghiris hatinya. Dia tidak pandang empunya suara sambil
berpura-pura sibuk mengemas beg tangannya.
“ Dengar
tak ni? Jangan lupa bayar bil-bil tu nanti. Hari ni ambik half day je, biar
settle semua urusan tu senanglah nanti,” Darahnya mendidih mendengar suara itu
lagi. Luka hentakan pada dahi yang diterimanya semalam terasa berdenyut kuat.
Dia terpandang meja makan yang bersepah saat dia selesai mengemas diri pada
cermin. Dia hanya mengeluh dalam hati.
“ Saya
pergi dulu,” Dia ucap sambil mengatur langkah keluar dari rumah. Si dia buat
tidak tahu sahaja, gayanya sudah bersiap sedia mahu menyambung mimpi setelah
kekenyangan menelan dua pinggan mee goreng.
Dia masuk
ke dalam kereta lantas menghidupkan enjin. Beg tangannya dibuka. Borang
tuntutan fasakh yang berlipat diambil dan ditatap. Dia pandang cermin. Biasan
wajahnya buat air mata mahu mengalir. Lebam pada dahi dan bibir disentuh
perlahan. Lantas air mata diseka. Pedal minyak dipijak lalu kereta bergerak
meninggalkan rumah.
Sesungguhnya
dia sudah letih menanggung biawak hidup.
0 respons terhadap bicara saya:
Post a Comment