Wednesday, April 22, 2020

random short story

Cawan plastik ditarik dari susunan lalu disua ke bawah ice dispenser. Sebaik sahaja kiub ais memenuhi separuh cawan, posisinya dialih ke bawah mesin pembancuh air. Matanya fokus pada susu suam yang laju menitis sebelum diganti dengan kopi dan coklat panas. Cukup bahan, mesin terhenti tanda minuman siap dibancuh. Segera dia tutup mulut cawan yang hampir melimpah dan menatang penuh cermat ke kaunter bayaran.

Sedutan iced salted caramel mocha terasa penuh nikmat di lidah dan tekak. Rasa manis karamel, masin garam dan pahit kopi berlumba masuk, membangkitkan rasa segar untuk meneruskan pemanduan. Sambil nozel minyak ditekan, sedutan air diteruskan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

" Ingat nak isi kat stesen minyak lain?"

Dia dengar ayat itu menyapa pendengarannya tapi dia rasa destinasi yang wajar bagi pernyataan berbaur persoalan itu bukanlah dia lalu dia biarkan sahaja.

" Tak ingat dah ke?"

Masa ini baru dia berpaling. Seulas senyum menyapa penglihatan, sekaligus membuka kotak ingatan yang tersimpan kemas. Cepat dia tunduk, mahu sembunyikan mata yang mula berkaca. Hati, kenapa terusik sangat ni?

" Mesti dah lupa saya, kan," Empunya senyum masih tak berganjak menanti jawapan. Dia hembus nafas perlahan.

" Mana boleh lupa. Awak yang lupa saya dah kot," Dia telan liur yang rasa berbuku di tekak. 
" Taklah, tak boleh lupa. Boleh ke kita lupa orang kita sayang?" soalnya. 

Diam. Tahu pun, getusnya dalam hati.

Bunyi dari tangki kereta tanda minyak di paras penuh mengalih tumpuannya seketika. Nozel dipulang ke kedudukan asal lalu tangki ditutup kemas. Dia pandang lawan bicaranya seketika.

" Sihat? Tangan dah ok?" Soalannya buat dia tersenyum. Murahnya senyum awak hari ini.
" Dah, alhamdulillah okay je,"
" Baguslah..." Masing-masing hilang bicara. Dia kerling jam di tangan. 

" Mesti awak nak gerak dah kan. Pergilah, takut sampai lambat pulak nanti," Makin dia mahu tumpahkan saja air mata yang ditahan dari tadi lantaran tersentuhnya hati apabila perihal diri sekecil itu masih diingati. Buat pertama kalinya sejak beberapa minit tadi, akhirnya dia beranikan diri angkat muka dan menatap wajah si dia. Langsung tak berubah. Dalam hati dia ucap setinggi syukur kerana hari ini dia tergerak untuk bersiap lebih rapi dari biasa, sekurangnya dalam pertemuan tak tersangka ini tidaklah dia rasa menyesal dengan penampilannya.

" Aah tulah...saya gerak dulu ya," Si dia angguk dan bergerak seiringnya saat mahu masuk kereta. Dia perhati sahaja saat enjin kereta dihidupkan, seolahnya masih ada yang mahu diluahkan. Lalu tingkap kereta diturunkan.

" Saya guna nombor yang sama lagi," Dia tersenyum mendengar pengakuan itu.
" Saya pun. Hati-hati drive, dah sampai nanti bagitahu," balasnya. Tergelak kecil mendengarnya.
" Lawak pulak, dulu tak pernah awak cakap macam tu," 
" Dulu saya silap, tak ambil kisah orang yang sayang saya. Harap masih ada ruang untuk sayang awak balik, walaupun saya tak sebaik mana," ujarnya rendah diri.

" Saya dah kata saya sayang dari hati, kan? Insha Allah, ruang tu masih ada," Leganya rasa saat dia luahkan semua itu. Serentak mereka berbalas senyum. 

" Oklah, bye," Dia lambai tangannya. Tingkap kereta dinaikkan. Brek kereta perlahan dilepaskan lalu kereta bergerak pergi sambil matanya tak lepas menjeling cermin sisi hingga empunya badan hilang dari ruang pandangan. Telefon pintar di sisi tiba-tiba bergetar tanda mesej masuk. Tergelak dia membacanya.

" Hujung tahun ni kita mesti kahwin tau *emoji sengih sambil tutup mulut*"

Insha Allah. Semoga panjang jodoh.

Hatinya tenang sepanjang pemanduan. Insha Allah, mudah-mudahan ini jawapan istikharah yang dia cari selama ini. Insha Allah.


0 respons terhadap bicara saya: