Awan gelap berarak menutup sinar matahari yang garang memancar sejak pagi tadi. Lelaki itu masih berdiri di situ dengan kotak besar di tangannya. Seraut wajah tua itu tidak menampakkan lelah meskipun sudah lama dia tegak berdiri di situ, mengharapkan perhatian barang secebis dua dari orang ramai yang lalu-lalang di sekelilingnya. Juga tak nampak risau walaupun tahu bila-bila masa sahaja tubuhnya akan basah ditimpa hujan yang sudah mula menurunkan titisannya.
Lelaki itu masih berdiri di situ.
* * *
" Terima kasih, kak." Bungkusan nugget, bebola dan sosej goreng dicucuk pada lidi bertukar tangan dengan not hijau. Usai menerima baki, dia berpaling pada si kecil dua orang yang tak sabar mahu menikmati nugget dan sosej.
" Nah, lidi jangan buang merata-rata." Bersama si kecil yang dua orang, kaki terus dihayun menelusuri deretan gerai yang masih meriah dengan jualan. Sambil mata menjamu selera dengan hidangan yang pelbagai dan lazat pada pandangan, sambil itu juga tubuhnya menyelit di celah orang ramai mengelak dari dilanggar. Kelibat ibu dan kakak ditemui.
Matanya terhenti pada susuk yang berdiri tidak jauh dari kelibat ibu dan kakak yang ditemui tadi.
Teringat pada rezeki yang baru diterima dan dikongsi bersama keluarga sebentar tadi. Kata orang, dalam rezeki yang kita terima, ada bahagiannya itu rezeki milik orang lain. Kita hanya wasilah dalam menyampaikan rezeki yang datang dari Yang Maha Memberi Rezeki. Sejenak teringat kisah ibu yang diseksa dalam neraka dan pelindungnya ketika itu hanyalah secebis kain dan sepotong lemak. Di celah orang ramai itu, dia tercegat sebentar.
Lantas akalnya menginterpretasikan stimulus yang datang dari hati dan menyampaikan maklumat pada tangan untuk melakukan pergerakan yang dikehendaki. Beg duit dibuka. Tak banyak yang tinggal, desis hati kecilnya. Tak apalah kalau sikit pun, mana tahu yang sikit tu bermanfaat, balas hatinya kembali memujuk. Beberapa helaian dikeluarkan. Tangan terus dipanjangkan masuk ke kotak yang dipegang lelaki itu tadi.
" Terima kasih. Semoga hidup dirahmati Allah."
Senyum. Hatinya tersentuh mendengarkan doa dari orang yang menerima pemberiannya. Terasa indah bila ada orang mendoakan hidupnya dalam rahmat Allah. Gembira rasa menyelinap di hatinya. Kaki dihayun bertukar arah pada keluarga yang menanti sejak tadi.
Dalam hatinya ada rasa suka. Ada rasa bersyukur dan seronok.
Benarlah seperti yang dikata, tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang dibawah.
kebaikan untuk tangan yang di atas *dari gugel imej* |
0 respons terhadap bicara saya:
Post a Comment