Sunday, October 25, 2015

pergi

Dia buka mata dengan payah bila telinganya menangkap bunyi alarm dari telefon pintar yang terletak di atas meja tepi katil. Jarinya meluncur di atas skrin mematikan bunyi yang memekik dari tadi. Kemudian perlahan-lahan dia bangun dari pembaringan lantas masuk ke bilik air.

Pintu almari di buka. Barisan kemeja dengan variasi warna menghias pandangan. Seperti pagi-pagi sebelum, dia akan termenung sebentar 2  minit sebelum warna kemeja hari itu diputuskan. Seterusnya rutin yang sama berulang apabila laci bawah dibuka, memilih tali leher yang sesuai dengan kemeja. Selesai dua rutin itu, dia akan menggosok secermat mungkin dan diletak dengan rapi di atas katil supaya mudah untuk dicapai oleh si pemakai.

Dia sedang menggoreng telur dadar ketika bunyi shower dari bilik air kedengaran. 15 minit kemudian bunyi air berhenti. Dia teruskan kerja membancuh teh susu dalam teko tembikar hadiah perkahwinan dari ibu mertuanya.  Setiap pagi minuman itu wajib ada atas meja, kerana itu janji yang dia buat sewaktu mereka bersarapan pertama kali sebagai suami isteri. Tersenyum dia mengingatkan kenangan itu, kerana ketika sarapan pertama mereka, dia tidak punya susu pekat manis lalu teh susu terpaksa dibancuh dengan creamer dan gula, bertentangan dengan kegemaran si suami. Tapi minuman itulah yang menghangatkan sarapan pertama mereka di bilik sewa kecil mereka di Edinburgh.

Tiga pinggan disusun cermat berhadapan tiga kerusi disusuli dengan kutleri di sebelah pinggan. Dia angkat muka bila kerusi di hadapannya ditarik. Budak lelaki beruniform sekolah itu duduk lalu menyenduk mee goreng ke pinggannya.

“ Mama, makan jom?” pelawanya. Dia senyum sambil mengambil tempat di hadapannya.

“ Hari ni Hariz ada kelas tambahan ke?”soalnya selepas menelan suapan pertama. Hariz angguk.

“ Ada, kelas Add Math. Lepas tu ada training basketball kejap. Mama ada nak pergi mana-mana ke?” balasnya sambil terus menyuap makanan. Dia geleng.

“ Tak. Takut papa balik awal hari ni, nanti dia tercari-cari mama pulak,”Hariz tenung wajah ibunya. Dia letak garpu perlahan lalu pegang tangan mama.

“ Tapi mama dah lama cuti. Nanti apa colleague mama cakap. Mama kena keluar, jumpa diorang..”

“ Takpe hari-hari mama borak dekat Whatsapp so should be no problem la kan,” Dia bangun membawa pinggan kosong ke sinki. Hariz turut langkahnya ke pintu hadapan. Tangan dia diraih lalu dikucup. Dia pandang wajah mama yang hilang seri.

“ Hariz pergi dulu,ma. Jaga diri,” Rautnya berbaur kerisauan. Mamanya senyum sahaja. Hariz naik ke atas basikalnya. Saat tongkat basikal dinaikkan, mamanya berpusing masuk ke dalam rumah seraya menyahut. Hariz rasa mahu menangis mendengarkan sahutan ibunya. Perlahan-lahan dia mengayuh basikalnya keluar dari kawasan rumah.

***

“ Hariz, mama nak ke rumah Aunty Nina kejap. Nanti basuhkan baju dalam mesin tu. Mama dah kosongkan laundry bag mama Hariz masukkan yang Hariz punya okay?” Hariz angkat tiga jari dengan ibu jarinya bertemu telunjuk tanda faham tanpa angkat kepala dari surat khabar. Tak lama selepas itu suasana sunyi sebaik sahaja enjin Vios menderum pergi meninggalkan rumah.

Penutup mesin dibuka. Dia berkira-kira untuk memasukkan baju kotornya bila didapatinya mesin sudah penuh. Lantas dia putuskan untuk basuh baju yang di dalam mesin terlebih dahulu. Sementara itu dia kembali ke ruang tamu menonton filem yang terhenti seketika sebentar tadi.

Mesin berlagu nada riang tanda baju sudah kering dan sedia disidai. Hariz capai bakul lantas isi mesin dipunggah masuk ke dalamnya. Pergerakannya terhenti tatkala kemeja pelbagai warna berada di tangannya. Mama…
***
“ Hariz, pergi panggil papa. Mama dah panggil ajak makan tadi tapi dia tak perasan kot,” ujarnya sambil tangan ligat menyiapkan hidangan. Hariz serba salah. Tapi kakinya melangkah juga ke mini library di sebelah ruang tamu.

“ Papa, mama ajak makan,” Hariz kembali semula ke meja makan setelah menyampaikan pesan itu. Dia rasa berat nak makan, tapi melihatkan mama bersungguh makan, dia paksa tekaknya telan juga walaupun pahit.

Dia berhenti melangkah bila terdengar suara mama berborak. Pintu bilik utama ditolak perlahan. Kelihatan mama sedang memegang beberapa helai kemeja sambil sesekali tertawa. Kemudian dia sangkutkan kembali kemeja yang barangkali bukan pilihan lalu kemeja lain pula diambil. Hariz tak tahan lagi. Dia melangkah masuk ke bilik terus ke arah mama yang sedang terpinga melihatkannya. Perlahan-lahan dia ambil helaian kemeja dari tangan mama dan ajaknya duduk di katil.

“ Mama, please..” Suaranya sebak. Air mata mula bertakung di kelopak mata. Mama diam. Dia cuba ambil kemeja di tangan Hariz tetapi Hariz kejapkan pegangannya. Dia mula teresak.

“ Mama tak boleh..” Kata-katanya putus dek air mata yang laju membasahi pipi. Hariz pejam celikkan matanya yang basah.

“ Dah sebulan papa pergi, ma. Kalau mama terus macam ni, nanti mama sakit. Hariz nak SPM, ma. Papa dah takde. Kalau mama pun takde, Hariz tak kuat, ma.” Mama terus menangis di bahunya. Lama mereka melayan perasaan hiba sehinggalah mama angkat muka, menatap wajahnya.

“ Hariz…seiras sangat dengan papa. Ada masa, mama sakit bila mengingatkan ni. Tapi, Hariz je satu-satunya yang papa tinggalkan untuk mama. Hati mama yang dia ambik dia tak pulangkan..” Tangisannya tercetus kembali.

“ Mama, lepaskan dia, ma. Melepaskan bukan bererti kita lupakan dia, tapi sebab kita redha dengan pemergian dia. Hariz rayu, ma.” Mama angguk perlahan-lahan. Hariz genggam kuat tangan ibunya, tanda dia sentiasa ada di sisi.

***

“ Khaira an-Naurah, sudi tak awak jadi isteri saya?” Dia terkedu. Serentak air mata terharu mengalir. Dia angguk kepalanya berkali-kali.

“ Kita kahwin esok, boleh? Saya dah telefon mak ayah awak. Mak ayah saya pun setuju. Urusan daftar kat Malaysia, apa-apa hal berbangkit nanti biar saya settlekan. Yang penting habis Master nanti saya nak balik dengan awak, bukan sorang-sorang,” Dia ukir senyum manis. Naurah senyum juga meski wajahnya basah dengan air mata.

“ Mama, jom,” Hariz raih tangannya mengajak pulang. Dia buka mata. Tangannya mengusap nisan putih di hadapan.


“ Abang, Naurah balik dulu,” Dia dan Hariz mengatur langkah. Kakinya terasa berat untuk pergi, tapi hatinya memujuk mengatakan separuh hatinya ada pada dia dan dengan itu dia akan terus hidup.

Friday, October 16, 2015

dunia tak adil

Assalamu'alaikum =)

semalam aku berborak dengan senior aku dan dia tanya,

" macam mana fifth year?"

aku jawab, jujur aku rasa tahun ni ujian terbesar yang aku rasa ialah ujian mental, rezeki dan nilai murni. eheh apasal macam belajar komsas lak.

tapi memang tu yang aku rasa.

mental, dekat betul dengan perkataan dental tu. takde kaitan pun tapi mental aku dan kawan2 teruji. dah tahun 5, selangkah lagi nak jadi Dr, dah tahun 5 pun tak tahu ke? ayat yang biasa dengar.
rezeki. requirement aku masih merangkak lagi. sebahagian dari diri aku dah mula meragui diri sendiri, boleh grad ke tidak aku 2016 ni. tapi sebahagian lagi bernada positif, aku boleh buat. rezeki orang berbeza. aku dah cuba untuk panggil patient dan seterusnya itu urusan Allah. walaupun dalam hati tetap rasa sedih sebab patient datang dengan tiada kes yang diperlukan, tapi akhirnya hati tu jugak yang pujuk sendiri, yakinkan yang semua ni ada hikmahnya.

nilai murni terutamanya persahabatan. serendah-rendah tahap ukhwah ialah berlapang dada. tapi sejauh mana kau boleh berlapang dada di saat kau perlukan patient sebab nak practice skill dan penuhi requirement tapi kawan kau jumlah requirementnya jauh lebih rendah dari kau lalu kau bagi patient kau pada dia. pada aku, percayalah yang Allah tak pernah terlepas satu kebaikan pun yang hambaNya buat maka kalau kau rasa terpaksa berkorban untuk kawan kau, buatlah. sebab Allah yang mengatur rezeki kau dan kawan kau.

aku pernah mengalami keadaan yang susah, disusahkan orang lain, sampai rasa dan aku dah buat pun, bila orang sakitkan hati aku, aku balas balik dengan cara yang lebih kejam. aku rasa puas bila orang tu rasa jugak sakit yang aku rasa. tapi percayalah, kau tak gembira.

dan disebabkan tu, aku jadi susah nak kembali kepada aku yang dulu. yang tak nak simpan dendam. yang tak balas kejahatan orang dengan kejahatan juga.

jujur aku rindu dengan aku yang dulu.

akhirnya aku simpulkan, aku buat macam tu sebab aku nakkan dunia yang adil bagi aku. aku cuba bagi keadilan dari perspektif aku tapi hakikatnya aku salah. apa yang aku kena buat sebenarnya ialah sabar dan biarlah Allah uruskan hal itu.

ustaz Hasrizal ada sebut dalam buku Di Hamparan Shamrock, Kuseru NamaMu, ketika beliau meminta nasihat dari seorang sahabat beliau sebelum pulang ke Malaysia for good, nasihat sahabatnya ringkas sahaja tapi padat.

iaitu,

jangan kecil hati.

betul, dunia takkan pernah adil di mata kita. akan sentiasa ada orang yang sakitkan hati kita secara sedar ataupun tak. tapi ianya bergantung pada reaksi kita dan reaksi kita bergantung pada hati kita.

dunia takkan pernah adil. kau perlu tahu itu.

Wednesday, October 14, 2015

mengidam Kacang Pool

Assalamu'alaikum =)

dah berapa post asyik buat dalam English je kan jadi hari ni kita post dalam bahasa ibundalah pulak eheh.

bukan nak berlagak tapi kadang tu dah terfikir nak tulis dalam English maka susahlah nak berhentikan. ini satu tips untuk bercakap dalam English yang diberitahu oleh kawan aku yang berabuk cakap Kedah dan English macam native, berfikir dalam bahasa yang kau nak cakap. insha Allah ayat yang keluar tu pun takdelah tunggang terbalik ke apa.

balik semula ke cerita asal.

aku pernah makan kacang pool ni sekali je. masa abang sepupu aku kahwin tahun 2012 hari tu. hah bayangkanlah berapa tahun dah aku mengidam nak makan kacang pool lagi tapi tak dapat. aku dapat makan pun sebab maklong aku belanja kat satu restoran (ke medan selera tah) dekat dengan stesen bas Larkin. 

waktu tu aku tak tahu pun kacang pool tu apa. nama dia kacang pool pun aku tak tahu sebab maklong aku yang order. pastu aku dengan tak malunya (bahahaha orang belanja ambik je la kan) mintak lagi satu set sebab sedap gila. serius, aku dah makan mee sup waktu tu sekali bila cuba kacang pool tu, lupa terus yang dah kenyang gila tapi tetap nak makan lagi sebab sedap.

visual yang mengancam deria rasa!!! *gambar ihsan Google*

dalam tahun ni aku memang dah teringin sangat nak makan kacang pool tapi tak tahu kat mana nak dapat (sedih) kat sekitar Sungai Besi dengan Pandan Indah ni. ada jugak jumpa resipi tapi bilanya aku nak buat. maka aku hanya mampu tengok gambar je sambil berdoa bila-bila dapat peluang makan kacang pool lagi.

orang kata sesuatu makanan tu sedap kalau kau makan kat tempat asal dia. macam kacang pool ni dia asal dari Johor (tak pasti, mungkin makanan asli orang Melayu kat Johor dengan Singapura) jadi kalau nak rasa yang betul-betul sedap punya kena pergi sana. masalahnya celah bila pulak aku nak lari ke JB tumpang rumah maklong kejap pastu lari balik KL semula haha..

serius teringat-ingat rasa dia. roti tu lembut dia amatlah sangat lagi lembut dari aku yang perempuan ni pastu bila cicah dalam kuah kacang tu, cubit dengan telur sikit..pehh...tak keruan dibuatnya. cepatlah kawan aku yang beli makan malam balik aku dah makin lapar ni.

apapun, sesiapa yang tahu kat mana nak makan kacang pool sekitar Sungai Besi dengan Ampang ni bagitaulah aku tau. kot-kotlah dah lama ada tapi aku tak tau ke haha...