Wednesday, January 25, 2017

Lif

Dia menggagahkan diri meneruskan langkah. Sampai di lobi, dia bersyukur kerana ada seorang ibu dan anaknya sedang duduk di kerusi panjang menanti lif. Dia segera mengambil tempat dan melepaskan lelah.

Selang beberapa minit, lif yang dinanti masih belum turun. Takkan rosak kot, getus hatinya. Jam menginjak ke angka 12. Butang naik masih menyala. Si ibu dan anak di sebelah juga masih tekun menunggu. Dia buang pandang ke skrin yang terpasang di atas pintu lif yang memaparkan rakaman dari CCTV yang dipasang dalam lif di semua blok. Ada lif di blok lain yang masih ada penumpang yang turun naik. Dia mengeluh melihatkan lifnya yang entah kenapa masih belum turun.

Seketika salah satu CCTV menunjukkan sebuah lif di bloknya terbuka di tingkat atas sekali. Sepasang suami isteri dan anak kecil mereka kelihatan melangkah masuk dengan membawa beg pakaian. Lif tertutup dan mula bergerak ke bawah. Hatinya lega. Takde orang yang naik kot sebab tu lif tak turun, agaknya di dalam hati.

Tiba-tiba skrin terpadam seketika. Dia tidak ambil peduli kerana itu perkara biasa. Angka lif menunjukkan ia berhenti seketika di sebuah tingkat tanda ada penumpang naik. Kemudian skrin menyala semula seperti biasa.

Saat itu jantungnya berdegup laju. Betul-betul di penjuru lif itu ada sesuatu yang berbaju putih dan rambut menutupi wajah sedang berdiri namun seolahnya tak disedari oleh si suami isteri dan anak mereka. Dia semakin berdebar apabila lif semakin sampai ke lobi.

Pintu lif terbuka. Suami isteri itu keluar tanpa menyedari apa-apa. Si isteri duduk sebentar di kerusi dengan anaknya yang sedang tidur sambil si suami pergi mengeluarkan kereta untuk dipandu ke lobi. Dia pula masih teragak-agak sama ada mahu naik lif tadi atau tidak.

" Baru balik kerja ke? Lambatnya," tegur si isteri. Dia terkejut namun lekas bertenang.

" Oh, haah. Kena overtime tadi. Akak nak balik kampung ke malam-malam ni?" balasnya semula. Lif tadi masih kekal di aras lobi.

" Aah, tapi dik ni dah nak Subuh pun," Suara wanita itu mula bergetar. Dia telan liur. Jam sudah menunjukkan 5.15 pagi.

" Takpelah kak saya naik dulu," Dia menekan butang naik lantas pintu lif terbuka.

" Akak tak nak naik sekali?"
" Eh, akak tunggu suami akak ambik kereta,"
" Tak, maksud saya akak yang..." Lidahnya kelu saat menyedari sesuatu. Si isteri segera melangkah laju ke arah suaminya sebaik sahaja keretanya sampai. Jelas wajahnya ketakutan saat dia bangun dari duduknya.

Cepat-cepat dia menekan butang menutup pintu lif. Sebaik sahaja lif sampai ke destinasi, pantas dia berlari ke rumah kerana terdengar suara halus ketawa saat pintu lif terbuka.

Sewaktu dia tiba di rumah, dia sudah tidak peduli akan bebelan ibunya yang risau menanti kerana yang paling utama ketika ini ialah tidur setelah keletihan menunggu lif lima jam. Esok sahaja dia akan cerita apa yang terjadi.

0 respons terhadap bicara saya: