Tuesday, August 15, 2017

Lelaki Yang Baik

Hari ni aku ada kursus kalibrasi karies di sebuah sekolah rendah, yang mana subjek aku ialah pelajar-pelajar sekolah rendah. Seronok tengok gelagat budak-budak ni dan buat aku makin teringat kat adik bongsu aku yang sebaya mereka (darjah 5). Dalam masa yang sama, aku nervous juga sebab ini seperti sebuah exam bagi aku. Aku dan kawan-kawan lain kena charting gigi murid-murid yang terpilih ni dengan kod yang berbeza dengan yang biasa kami guna dalam tugasan harian. Jadi, agak mencabar jugalah.

Prosedur kalibrasi pun bermula. Selesai satu pusingan, kami dikehendaki untuk charting sekali lagi lima orang murid yang sudah dicharting tadi untuk memenuhi syarat 'intraexaminer'. Kiranya nak tengoklah sama ada charting aku ni konsisten ke tak.

Sedang aku berborak dengan kawan sewaktu di stesen rehat, tiba-tiba salah seorang murid lelaki yang sudah selesai datang pada aku dan beritahu sesuatu berkenaan kain. Aku ingatkan dia tegur kain baju kurung aku yang terselak, jadi cepat-cepat aku betulkan tapi tidak. Rupanya dia minta aku untuk tolong betulkan kain kawannya yang sedang dicharting oleh kawanku yang lain. Terus aku bangun dan betulkan.

Barangkali kerana duduk terlalu lama di atas dental chair, diperiksa pula mulut berulang kali, maka murid perempuan itu pun menggerakkan kakinya untuk hilangkan bosan dan secara tak sedar menyebabkan auratnya sedikit terbuka.

Sekembalinya aku ke stesen rehat, aku ucapkan terima kasih pada murid yang menegur tadi. Aku harap murid tu membesar menjadi seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab dan menghormati wanita serta melindunginya.

Bulan ini sahaja berapa kes keganasan seksual yang dilakukan oleh ahli keluarga mangsa sendiri sudah kita dengar. Terlalu pedih untuk dibaca, sampai rasa macam nak peluk mangsa dan bisikkan kata-kata semangat untuk terus kuat. Sehingga makin tipis kepercayaan masyarakat terhadap lelaki yang bergelar bapa, abang, adik lelaki, suami, datuk dan bapa saudara. Kerana mereka yang bergelar sedemikian, yang layak menjadi wali untuk mangsa, tergamak melakukan perkara keji terhadap mangsa.

Murid tadi telah buktikan pada aku, bahawa sesungguhnya lelaki yang baik itu masih ada. Juga lelaki yang telah dididik untuk menghormati dan melindungi wanita itu ada. Cuma terlalu ramai lelaki hari ini dikaburi oleh status lelaki pemimpin wanita, maka ada yang menyalahguna kuasa menindas wanita.

Kepada lelaki-lelaki yang membaca, cuba ambil masa untuk renung diri anda sendiri, adakah anda seorang lelaki yang baik atau tidak? Kerana kami perempuan tak mahu sewenang-wenang menarik kalian ke neraka andai kesilapan kami tidak ditegur dan dibimbing dan kami juga tak mahu kalian dihukum atas kekejaman dan penindasan, disebabkan oleh bisikan hati kalian sendiri.

0 respons terhadap bicara saya: