Dia kesat air mata dengan telekung yang dipakai. Sambil itu dia perhati kiri kanan, bimbang ada yang perasan dengan tingkahnya. Mujur surau tidak ramai orang, kalau tidak jenuh dia mencipta alasan bila ditanya nanti. Sengaja dia pura-pura pejam mata sambil tadah tangan, berdoa dengan khusyuk dalam hati bila ada insan lalu di sebelahnya. Setelah gelora di hatinya rasa tenang, baru kakinya punya kekuatan untuk bangun beredar.
***
" Hai, selamat pagi. Apa khabar?" Wanita muda dengan topeng muka tersangkut pada lehernya menyapa dengan senyum pada dia yang muncul di muka pintu. Dia angguk sahaja sambil membalas senyuman itu.
" Dah ready ke?" Wanita muda menyoal sambil topeng muka ditarik menutupi kawasan hidung dan mulutnya. Dia angguk perlahan-lahan.
" Dah makan kenyang-kenyang tadi?" soalnya lagi.
" Dah. Diorang kata first time pakai tak boleh makan so saya makan puas-puas tadi," Si wanita muda bertopeng muka tergelak kecik mendengar jawapannya. Dia menjadi tenang sedikit melihatkan wanita muda yang ramah itu. Si wanita muda menyarung tangannya dengan sarung tangan getah.
" Ok, kita start pasang ea. Kalau ada apa-apa rasa tak selesa ke bagitahu ya," Selepas ayat itu habis diucapkan, prosedur pun bermula. Dia hanya tabah menganga sepanjang prosedur dijalankan. Seingatnya, hampir sejam juga dia buka mulutnya hingga terasa lenguh pada rahangnya.
" Ok dah siap. Nah cuba tengok," Sekeping cermin muka disua padanya. Dia senyum lebar melihat imej pada cermin. Dia pandang si wanita muda yang turut tersenyum melihat pelanggan yang ceria.
" So lepas ni setiap bulan ke kena jumpa?" soalnya sambil bersiap-siap untuk balik.
" Aah tapi tu nanti kita akan confirmkan. Nanti esok kalau dah ada perubahan bolehlah bagitahu saya ya. Whatsapp gambar ke. Hari ni bolehlah ambik gambar before dulu," balas si wanita muda. Dia angguk faham.
" Oklah terima kasih banyak-banyak. Saya pergi dulu," Dia meminta diri lalu pulang dengan perasaan senang di hati.
Malam itu dia mengerang kesakitan saat mahu makan bubur. Gigi-giginya terasa ketat yang teramat, kesan ikatan dawai. Dia pujuk hatinya, beauty is pain. Sakit lagi dicerca daripada memakai alat ni, getus hatinya menguatkan semangat. Sedikit demi sedikit bubur disuap ke dalam mulut langsung ditelan kerana sedikit sentuhan pada gigi sahaja sudah membuatkan dia menjerit kesakitan, apatah lagi kalau perlu mengunyah. Hingga satu tahap sakitnya tak tertanggung, dia terus melelapkan mata dengan harapan sakit itu hilang seketika.
***
Dia memandang resah skrin telefon pintarnya. Dua tanda kelabu bertindihan itu belum bertukar kepada biru lagi. Dia sentuh sedikit permukaan gigi kapaknya. Dia berdesis kuat, menahan sakit saat jarinya tersentuh permukaan gigi. Dahinya berkerut. Dia cuba baring selepas menelan dua tablet putih penahan sakit. Perlahan-lahan sakitnya memudar bila matanya terpejam dan mindanya berlayar ke alam mimpi.
" kau okay?" tegur si teman. Dia angguk namun pada wajahnya terlukis riak sakit yang teramat.
" tapi macam sakit gila je kau pakai braces ni. Aku pakai jugak dulu tapi taklah sampai berminggu camni. Kau tak call doktor kau ke nak check? appointment kau bila?" soal si teman bertalu-talu.
" tak tahu. Aku whatsapp tanya bila tapi dia tak reply pun," wajah si teman berubah mendengarkan hal itu.
" weh, pergi je lah mana-mana klinik untuk emergency ni," Dia angguk sahaja. Sekarang bukan sekadar sakit yang dia rasa, beberapa batang gigi hadapan juga sudah mula terasa longgar dari soketnya.
Dia terkedu bila doktor itu mengucap panjang melihat radiograf giginya yang baru diambil sebentar tadi.
" Minta maaf ya bertanya, tapi awak buat braces ni dengan siapa?" soal doktor dengan nada serius. Dia tertunduk takut.
" Saya jumpa dia melalui Instagram. Saya whatsapp dia lepastu dia bagi appointment untuk pasang braces," Dengan ketar dia menjawab, sambil takut-takut memandang wajah doktor. Doktor nampak hampa bila mendengar perakuannya itu.
" Hmm kenapa awak pergi dengan dia..Awak tahu tak kesan dia apa buat braces bukan dengan pakar ortodontik yang bertauliah?" soal doktor dengan lembut, dia risau dan kecewa kerana nasi sudah jadi bubur.
" Saya tahu, doktor. Saya baca pasal tu. Tapi saya tak ada duit nak buat dekat klinik. Dan saya dah tak sanggup nak tunggu lama. Saya sakit doktor, pakai braces ni. Tapi saya lagi sakit bila teringat orang panggil saya jongang," Luahnya.
Doktor terdiam mendengar jawapannya.
Secara fizikal, dia boleh diagnose pesakit itu dengan akar gigi yang mereput akibat pemakaian braces dengan tekanan yang berlebihan, tetapi tak ada yang tahu bahawa tekanan pada hatinya yang berlebihan yang buat dia nekad mengambil keputusan sedrastik itu.
Tekanan digelar jongang.
p/s: Kepada yang benar-benar memerlukan rawatan braces, silalah dapatkan rawatan dari pakar yang bertauliah. Harga braces memang mahal, tetapi gigi kita lebih mahal kerana sekali hilang tiada ganti. Aku faham perasaan orang yang mengalami masalah susunan gigi yang tak teratur, terutama sekali yang jongang. Kerana aku juga mengalami masalah yang sama.