Wednesday, January 29, 2014

coloris hitam biru saiz 9

hari-hari kau lihat dia senyum. dengan coloris hitam biru saiz 9 itu. mula-mula kau boleh terima. tapi dah lama-lama kau rasa menyampah pulak. kau benci lihat dia. kau cemburu tengok dia boleh gembira. mesti sebab dia pakai coloris yang mahal. yang dia beli kat sogo. sedang kau bercapal lusuh yang sudah bertahun tak berganti. 

ah, aku tak ada duit, nak buat macam mana, getus kau sambil menghembus asap berbaur nikotin. dia berwang, dia mampulah. kata kau lagi. kau terus memerhati dia.

hari tu dia menangis, mengadu coloris yang dipakainya ada lubang pada tapak. kau lihat sekali lalu. kau menghela nafas. ah, apalah sangat lubang sekecil itu berbanding capal lusuh aku. tapi dia masih sarung coloris itu dan berjalan dengan memakai senyum yang tergantung di bibir. lagilah kau hairan, apa air yang dipijak tak masuk ke? stokin tak basah ke? 

lalu kau marah. kau tuduh dia pentingkan diri kerana pakai coloris hitam biru sedang kau hanya bercapal biasa. dengan pesimis yang kau amal sekian lama, kau terus menuding jari menyalahkan dia. kerana dia ber'coloris hitam biru'lah, kau masih bercapal hingga kini. hingga kau tak sedar hanya dengan satu-satunya senjata yang kau ada, kau tambah lagi lubang di colorisnya. satu hari nanti pasti dia akan buang coloris berlubang itu dan bertukar kepada capal seperti kau.

tapi satu hari tiba-tiba dia bersuara, 'mahu cuba coloris?' kau angguk laju. kau harap bila dapat pakai coloris kau mampu senyum sepeti dia. dan dalam hati kau sudah ketawa besar sebab kau mahu lihat dia merintih sengsara pakai capal kau.

coloris dan capal bertukar tangan. laju kau sarung coloris. belum sempat tumit mahu duduk selesa atas tapak coloris, kau sudah mengeluh kerana keras dan kasar tanah yang kau rasa secara terus dengan jari kaki kau. kau cuba masuk keseluruhan kaki dan cuba buka langkah. berkerut dahi kau tahan sakit dicucuk batu kecil di tapak kaki. lalu kau terduduk letih dan sakit.

kau pandang dia. dia sedang melangkah yakin dengan capal kau. kau hairan lagi. bukankah terang-terang capal itu lusuh dan buruk? kenapa kau masih senyum? sedang coloris kau tak seselesa yang disangka. kau jai geram. kau mahu baling coloris itu dan tuntut balik capal kau.

tiba-tiba kau terhenti. kau nampak cermin. kau baru perasan selama ni kau pakai baju hitam. baju hitam yang benangnya dengki dijahit dengan niat memecah-belahkan kau dan dia. lalu kau pandang dia. baju dia tidak seindah mana tapi pada unsurnya ada ikhlas dan sabar. lalu kau tanggalkan coloris dan berlalu pergi.